JellyPages.com

Sabtu, 11 Jun 2011

" Kedah + Tanjung Malim + Seremban "

Pepatah Melayu mengatakan "hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri". Maksudnya, "sesuatu itu memang baik di kampung halaman sendiri walaupun betapa mewahnya tempat lain". Hujan emasnya ialah line broadband saya di bumi Seremban sangatlah laju berbanding ketika saya berada di kampung. hehe. Baru sahaja menjejakkan diri di bumi Seremban, masih teringat juga wajah-wajah mereka yang sentiasa ingin melihat diri ini berada di kampung bersama mereka. Mahu atau tidak, saya harus juga menggagahkan diri untuk berada di bumi Seremban sehingga Ogos ini dan seterusnya masih juga akan berada di perantauan (Tanjung Malim) sehingga awal tahun hadapan. Macam jauh sangat pula bunyinya..^ ___ ^. Yang baiknya, saya menganggap perjalanan jauh dari keluarga ini sebagai satu cabaran dan perjalanan penting yang bakal menentukan masa depan saya sebagai pendidik kelak..InsyaAllah. 
Pejamkan matamu untukku,
Dengarlah dunia berkata-kata,
usah kau ragu di sini tempatmu,
walau berubah di mata kita tetap indah,
selagi kau masih percaya,
ketawa, kecewa terpisah,
jalan yang lurus kian berhalang,
adakah ini semua yang ku inginkan
ataupun hanya mengejar dunia semata-mata,
kuharap ku masih percaya.
adakah ini semua yang kuinginkan
ataupun hanya mengejar dunia semata-mata
kuharap kau masih percaya
buka matamu biar aku memelukmu
kita bersama masih muda
masih mentah
kuharap kau masih percaya.
selama ini
Sungai Lui
Aizat

Mendengar dan menghayati lagu ini meletakkan diri saya sebagai insan yang harus sentiasa percaya kepada diri sendiri terhadap setiap apa yang dilakukan dan percayalah Allah sentiasa bersama kita. ^ ____ ^. 



Ahad, 29 Mei 2011

" selirik kata "

Seboleh-bolehnya hari ini, adalah hari untuk diri ini melepaskan sesuatu dan memulakan sesuatu. Ruangan blog ini ku anggap sebagai salah satu enjin menghidupkan rasa senang di hati, kerana membaca entri blog orang lain yang memberi inspirasi kekuatan hati serta menulis tentang sesuatu yang bermain di minda berlandaskan kerelevanan merupakan salah satu cara untuk membina kematangan diri. Teringat pula kepada keinginan suatu ketika itu untuk melibatkan diri dalam dunia blog. Keputusannya, kuteruskan perjuangan hasil kursus Sosiolinguistik ini untuk terus menulis entri selanjutnya. Blog ini lalu diubah tajuknya 'tabir ceritera sosiolinguistik' kepada 'tentang aku, kau, dia dan mereka'.Sesungguhnya, sebarang entri yang ingin kutulis sekadar untuk meluah rasa dan kata terhadap dunia yang sedang kita lintasi bersama. Sebarang kekurangan dan kelemahan datangnya dari hamba Allah yang menghamburkan kata dalam blog ini. 

: Universiti Malaya : 11.00 pm :

Sabtu, 12 Mac 2011

" Kerana Bahasa atau Kerana Jiwa?"

Situasi 40
Dahlulunya seringkali aku mendengar kata-kata kurang enak dan kesat daripada pelajar-pelajar nakal di sekolah. Malahan, kata-kata kesat itu ditulis di merata-rata sebagai luahan perasaan mereka terhadap guru atau sesiapa sahaja yang menimbulkan kemarahan dalam jiwa mereka. Situasinya yang ingin aku ceritakan di sini ialah mereka ini sebenarnya mengambil kesempatan di atas bahasa yang ada untuk bersikap tidak wajar terhadap masyarakat dan persekitaran mereka. Kata-kata seperti babi, bodoh, pukimak, lancau, kepala bapak dan sebagainya acapkali digunakan untuk memaki hamun orang lain sesuka hati. Tidak cukup dengan itu, segala luahan perasaan ini turut diconteng di mana-mana kesempatan tempat dan waktu yang ada buat mereka menjalankan kegiatan tidak bermoral ini. Persoalannya, kerana bahasa yang ada membolehkan mereka menggunakan bahasa sedemikian atau gangguan jiwa mereka yang sememanya tidak bermoral? Sesungguhnya, gejala ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan pelajar sekolah, malah golongan dewasa juga.

Ceriteranya:
Wujudnya situasi bahasa seperti ini tidak dinafikan bahawa berpunca daripada adanya bahasa itu sendiri. Kerana bahasalah juga yang mewujudkan kosa kata sedemikian luas untuk digunakan oleh penutur bahasa. Walau bagaimanapun, kegagalan seseorang untuk menghayati keindahan dan ketulusan kewujudan bahasa itu telah memesongkan hati dan jiwanya untuk menggunakannya sebagai bahasa yang tidak bermoral. Keadaan ini juga telah menimbulkan masalah lain seperti vandalisme kerana menconteng di dinding-dinding bangunan dengan. Kita juga tahu bahawa, seringkalinya bahasa-bahasa kesat seperti ini biasa digunakan oleh mereka yang mungkin sekadar untuk meluahkan perasaan marah dan geram. Namun, pada hakikatnya bahasa tidak mengajar kita untuk menggunakannya ke arah yang tidak bermoral seperti itu.

"Pelat"

Situasi 39
Situasi pelat sebenarnya seringkali berlaku dalam kalangan masyarakat di sekitar kita. Situasinya yang ingin aku ceritakan ialah seorang pelajar yang membuat pembentangan ketika kelas Karya Agung bersama Prof. Abdullah Hassan mengalami masalah pelat 's'. Pelajar perempuan itu sukar sekali menyebut perkataan 'Sultan Mansur Syah' kerana masalah abjad 's' yang terdapat pada kata nama 'Mansur' sehingga menyebabkan pensyarah terpaksa memperbetulaknnya berkali-kali. Dia menyebut perkataan Mansur dengan sebutan 'Manshur' sedangkan sebutan yang sebenar adalah 's' dan bukannya 'sh'.

Masalah pelat yang berpunca
daripada alat artikulasi seperti
lidah.
Ceriteranya:
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, pelat membawa maksud kurang betul ketika mengucapkan kata-kata. Masalah pelat ini mungkin berpunca daripada masalah alat artikulasi kita. Adakalanya, ia mungkin berpunca daripada masalah kefahaman dan kebiasaan kita terhadap sesuatu bahasa. Misalnya, orang cina atau india yang pelat berbahasa Melayu kerana lidah mereka sudah terbiasa bertutur dalam bahasa ibunda mereka dan kurang menggunakan bahasa Melayu. Namun, dalam situasi di atas, masalah pelat yang dialaminya sebenarnya berpunca daripada alat artikulasinya lalu menyebabkan dia gagal menyebut abjad 's' dengan betul.

"Binatang dan mnatang"

Situasi 38
Kalau disebut binatang, kita faham bahawa ia merujuk kepada seekor haiwan atau benda hidup yang bernyawa selain manusia. Kalau disebut mnatang pula, mungkin ada yang akan faham ianya merujuk kepada sesuatu benda atau menatang iaitu satu tingkah laku atau perbuatan yang memegang sesuatu menggunakan tangan. Kalau 'bagai menatang minyak yang penuh pula' ia merujuk kepada peribahasa yakni makna menatang dalam ayat tersebut bukanlah perbuatan menatang minyak, sebaliknya perbandingan yang diberi seumpama menatang minyak yang penuh agar tidak tertumpah. Peribahasa itu membawa maksud sikap manusia yang meyayangi dan menjaga seseorang seperi orang yang menatang minyak yang penuh. Namun, situasi dan persoalan yang ingin dibicarakan di sini pada kali ini ialah mengapa ada orang yang mengujarkan binatang sebagai 'binatang' dan ada juga yang mengujarkan binatang sebagai 'mnatang'? Hal ini seringkali kudengar daripada mulut ibuku ketika dia berbicara di rumah sama ada secara sendirian atau bersama orang lain. Kerana adakalanya beliau menyebut binatang dan adakalanya dia menyebut mnatang.


Ceriteranya:
Setelah meneliti dan melihat kepada penggunaan kedua-dua perkataan binatang dan mnatang ini, satu dapatan telah mejelaskan kepada aku bahawa terdapat perbezaan dalam penggunaannya. Penggunaan mnatang yang biasa digunakan oleh ibu aku adalah merujuk kepada sesuatu yang belum jelas tentang keberadaan dan penjelasan mengenainya atau objek dan bukannya haiwan. Manakala binatang, sememangnya merujuk kepada haiwan iaitu benda hidup selain manusia yang bernyawa.

Misalnya:
"Mnatang apa bawah bantal tu."
"Susahnya nak pasang mnatang ni."(Memasang sesuatu misalnya skru meja)

Namun, apabila keberadaan dan penjelasan mengenainya sudah jelas:
"Binatang ni ka ada bawah bantal."

Jelasnya, objek yang digelarkan sebagai mnatang itu biasanya merujuk kepada objek yang jelas atau sesuatu yang belum jelas dan pasti akan keberadaan dan pengenalannya.

" Tahniah tok dan tokwan"

Situasi 37
Pernahkah anda mendengar tok dan tokwan atau lebih dikenali oleh atuk dan nenek oleh masyarakat lain selain orang yang berasal dari Kedah bertutur dalam bahasa Inggeris? Mungkin ada dan mungkin juga tiada. Situasinya yang ingin aku ceritakan di sini ialah tok dan tokwan aku bertutur dalam bahasa Inggeris. Hebat juga kerana mereka tahu dan ada usaha untuk bertutur dalam bahasa Inggeris. Antara himpunan perkataan yang biasanya disebut oleh mereka ialah:

Gomen   -   Goverment
Contoh  ayat:
"Abah hang keja gomen, mesti la dia nak hang keja gomen jugak no."

Korek    -   Correct
Contoh ayat:
"Korek-korek. Tak payah pebetui dah."

Boipren  -   Boyfriend
Contoh ayat:
"Boipren hang bila nak bawak mai."

Eksen   -  Action
Contoh ayat:
"Eksen ja lebih ah."

Ceriteranya:
Sesungguhnya, walaupun perkataan yang disebut itu seratus peratus adalah salah, namun sebenarnya ia menimbulkan rasa suka dalam diri sesiapa yang mendengarnya. Hal ini kerana, adakalanya perkataan itu tidaklah kelihatan kelakar namun disebabkan cara pertuturan warga emas ini memperlihatkan unsur kelucuan, maka timbul rasa geli hati terhadap mereka yang mendengarnya. Jelasnya, golongan warga emas ini juga tidak ketinggalan untuk bertutur menggunakan bahasa Inggeris meskipun mereka tidak tahu mengenai bahasa tersebut. Jadi, mereka hanya akan menyebut mengikut sesedap rasa sepertimana yang mereka dengar daripada pertuturan orang lain. Ada juga segelintir golongan ini yang mengujarkannnya sebagai tanda sindiran terhadap golongan muda hari ini yang gemar menggunakan bahasa Inggeris. Oleh itu, ingin aku menyampaikan ucapan tahniah atas kesungguhan dan keprihatinan mereka yang sedar terhadap situasi bahasa masyarakat sekeliling.

" Sangap?"

Situasi 36
Acapkali mesej yang disampaikan oleh penutur kepada kita perlu melalui proses yang kadangkala menyekat kefahaman kita terhadap sesuatu mesej yang ingin disampaikan. Hal ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor antaranya masalah dialek, loghat, slanga dan sebagainya. Situasi ini turut berlaku kepada aku yang tidak faham akan maksud sangap yang dituturkan oleh rakan sekuliahku. Lalu aku bertanya:

Aku   : Sangap tu apa wei?
Rakan: La, sangap pun kau tak tahu? Menguap tahu?
Aku   : Ha, menguap aku tahu la.
Rakan: Sangap tu menguap la.Tapi kitaorang jarang sebut menguap. Selalu guna sangap.
Aku    : Ooooo..menguuuuuuaaaaap.

Ceriteranya:
Secara jelasnya, kita perlu memproses maklumat yang disampaikan oleh penutur untuk memperoleh maksud mesej dengan jelas. Sekiranya mesej yang disampaikan gagal diproses oleh minda kita dan kita tidak memahami apa yang dituturkan maka, hal ini bermaksud terdapat halangan ketika minda kita ingin memproses maklumat tersebut. Keadaan inilah yang menyebabkan kita gagal atau lambat mentafsir maklumat yang disampaikan oleh penutur lalu menimbulkan tanda tanya. Oleh itu, masalah yang dihadapi oleh situasi di atas yang menyebabkan mesej pertama lambat diterima oleh pendengar merupakan masalah dialek yang biasa berlaku dalam masyarakat seperti beberapa situasi yang telah aku ceritakan sebelum ini. Namun, keadaan inilah yang sebenarnya membantu kita untuk mempelajari kosa kata baru dalam pelbagai dialek yang terdapat di Malaysia.

Jumaat, 11 Mac 2011

" Belah atau blah "

Situasi 35
Belah bermaksud ceraian dan sesuatu yang tidak bersatu atau terpisah dua, manakala blah bermaksud 'pergi'. Situasinya yang biasa aku dengar:


Apa blah blah!!?? 
"Aku blah dulu la. Ada hal."
"Jom blah. Lambat dah ni"

Tidak pernah pula aku mendengar situasi seperti ini:
" Mak, saya blah dulu" atau "Pakcik, saya blah dulu"
Kerana pada kebiasaannya:
"Mak, saya pergi/minta diri dulu" atau "Pakcik, pergi/ minta diri dulu"
Boleh juga kiranya anda mahu mencuba untuk bertutur begitu dengan ibu atau ayah anda. Tetapi tiada jaminan keselamatan telinga diberikan.

Ceriteranya
Bezanya antara dua maksud perkataan ini apabila hilangnya abjad 'e' pada perkataan 'blah'. Malah, bezanya juga terletak pada penggunaannya. Hal ini kerana, perkataan blah ini jarang sekali malah tidak pernah digunakan oleh golongan dewasa atau golongan tua. Ia hanya biasa digunakan oleh anak-anak muda remaja apabila berkomunikasi sesama mereka. Malah, tidak pernah pula rasanya perktaan 'blah' ini digunakan oleh anak muda ketika berinteraksi dengan golongan tua. Terdapat nilai kebaikan yang ditunjukkan di situ apabila perkataan ini hanya digunakan sesama anak muda remaja. Hal ini kerana, perkataan ini sebenarnya kurang enak dan kurang sopan untuk digunakan apabila berinteraksi dengan orang yang lebih tua. Biasanya, perkataan blah ini dilihat sinonim dengan penggunaan bahasa oleh anak-anak muda remaja hari ini.

"Bahasa Rahasia"

Situasi 34
Situasinya ialah mengimbau kembali kata-kata ibu aku yang gemar menggunakan bahasa 'm' untuk bertutur dengan kakak-kakak aku sewaktu aku kecil dahulu. Kononnya untuk menyembunyikan maksud perbulalan mereka. Apabila dewasa, barulah aku memahaminya. Mari kita sama-sama mempelajari bahasa 'm':

Amakumu lahmah yangmang
pamalingming camantikmik
"Dimiyama sumudahmah mamakankam kahmah? Jamanganman mamarahmah dimiyama lama. Namantimi dimiyama memeramajukmuk taumau dakmak?"



Ceriteranya:
Bahasa 'm' ini sebenarnya sama seperti bahasa 'f' yang digunakan oleh segelintir masyarakat. Misalnya jika bahasa tersebut dialihkan ke bahasa 'f':
Difiyafa sufudahfah mafakanfan kahfah?Jafanganfan mafarahfah difiyafa lafa. Nafantifi difiyafa meferafajukfuk taufau dakfak?
Mungkin ada yang tidak memahaminya tambahan pula jika dituturkan dengan pantas. Maksud ujaran ayat di atas ialah:
Dia sudah makan kah? Jangan marah dia la. Nanti dia merajuk tau dak?
Ini ialah bahasa yang dianggap sebagai 'bahasa rahasia' oleh mereka yang menggunakan bahasa tersebut. Jadi, mereka yang tidak memahami bahasa tersebut tidak akan menerima mesej yang disampaikan melalui ujaran tersebut. Uniknya bahasa yang dicipta oleh mereka timbul dengan adanya bahasa Melayu itu sendiri yang bersifat fleksibel dan boleh diterima oleh masyarakat.

Khamis, 10 Mac 2011

"Pengucapan dan penulisan"

 Situasi 33
Seperti bahasa khidmat pesanan ringkas (SMS), bahasa yang digunakan di laman sosial seperti Facebook, Friendster, Twitter dan sebagainya. Situasinya yang ingin aku ceritakan di sini ialah ketika aku sedang melayari laman sosial Facebook, perkataan '2nd' telah memberi ilham untuk aku berkongsi pendapat tentang pengucapan dan penulisan kita dalam berbahasa. Malah, sebenarnya banyak lagi perkataan lain yang boleh dibicarakan tentang penggunaan bahasa dalam laman sosial seperti ini. Berikut ialah salah satu situasi bahasa yang digunakan oleh rakan Facebook:

"2nd time outing"
"bersama2 lah kita.."
"bsma"

Ceriteranya
Kebiasaannya, kita cenderung untuk memendekkan dan meringkaskan sesuatu perkataan yang kita tulis. Namun, kita tidak pernah pula meringkaskan pengucapan kata yang keluar daripada alat-alat artikulasi kita sepertimana ejaan yang kita ringkaskan melainkan kita hanya akan meringkaskan ujaran kita kepada maksudnya terus. Seperti perkataan '2nd' di atas, jika kita mengucapkannya mengikut ejaan yang ditulis adalah 'two nd', namun ia tidak membawa sebarang maksud. Hal ini kerana, sebutan yang betulnya dan sudah diterima oleh masyarakat dan penutur bahasa ialah 'second' bermaksud kali kedua. Begitu juga dengan perkataan 'bersama2' yang ditulis seperti di atas. Tetapi kita tidak pula menyebut 'bersama dua' kerana kita sedia maklum dan faham terhadap maksud perkataan itu ditulis seperti itu. Mengapa pula kita tidak meringkaskan sebutannya sepertimana kita meringkaskan ejaannya? Mungkin perkataan bersama menjadi 'B. S. M.A'. Mana mungkin kita akan menyebut satu demi satu abjadnya bukan?
Jelasnya, tidak mungkin akan berlaku kejadian seperti itu kerana bahasa yang diujarkan perlu jelas dan boleh difahami oleh penerima dan penutur itu sendiri. Berbalik kepada bahasa yang kita ringkaskan ketika menulis, ia sama sekali tidak akan menganggu mesej dan maksud yang ingin disampaikan. Hal ini kerana, situasi bahasa masyarakat adalah mudah dan boleh diterima pakai oleh semua asalkan maksudnya jelas dan sampai kepada penerima.

" Bahasa kita wajah kita"

Situasi 32
Budi bahasa yang baik dikatakan melambangkan keperibadian seseorang yang baik. Oleh itu, jika buruk bahasa seseorang itu, maka buruklah keperibadiannya. Situasi yang ingin aku kongsikan pada kali ini ialah situasi yang menunjukkan bahasa yang kurang elok digunakan ketika berinteraksi dengan masyarakat sekeliling. Sebaris ayat yang kukira agak kasar bunyinya kedengaran di corong telingaku ketika aku berbual dengan seorang rakan melalui telefon:

"Baru ja lepas mentedaghah tadi"

Ceriteranya:

Kata 'mentekedarah' di atas sebenarnya membawa maksud 'makan'. Walau bagaimanapun, perkataan itu sebenarnya adalah perkataan yang agak kasar untuk digunakan. Perkataan ini sebenarnya merupakan dialek Kedah. Oleh kerana perkataan ini dikira sebagai bahasa yang agak kasar, maka jarang sekali perkataan ini digunakan dalam perbualan seharian. Dengan beraninya aku mengatakan begitu kerana golongan lebih tua sekalipun melihat penggunaan perkataan itu sebagai perkataan yang kurang sopan untuk diguna pakai.

" Bahasa digunakan di mana-mana"

Situasi 31
Sedar atau tidak, bahasa sememangnya digunakan di mana-mana tidak mengira tempat dan cara interaksi bahasa dengan manusia. Tanpa kita sedar, komunikasi dengan persekitaran sentiasa wujud dalam kehidupan kita. Misalnya, ketika aku bersama seorang lagi dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur, banyak perkhidmatan awam yang menggunakan bahasa bukan lisan untuk meberi panduan kepada pengguna. Misalnya seperti gambarajah di sebelah:


Ceriteranya:
Segalanya menjadi mudah dengan adanya papan tanda seperti ini sebagai panduan sepanjang perjalanan kita. Misalnya jika kita hendak menggunakan tandas, akan adanya lambang tandas tanpa perlu adanya orang lain membuat pengumuman bahawa di mana letaknya tandas. Jelasnya, interaksi seperti ini meruapakn salah satu ragam bahasa yang digunakan dalam masyarakat kita untuk berkomunikasi. Dengan adanya kemudahan seeprti ini, maka perjalalanan kita akan sentiasa dipandu. Kesimuplannya, bahasalah yang mewujudkan kita panduan untuk kita berkomunikasi dengan persekitaran tidak kira walau di mana jua kita berada.

" Bahasa Menyimpan Rasa"

Tingkatkan prestasi, kurangkan kontroversi.
Situasi 30
Bahasa merupakan medium perantaraan masyarakat untuk menyampaikan maklumat atau mesej daripada satu pihak kepada satu pihak yang lain. Mudahnya, bahasa merupakan medium perantaraan yang menghidupkan interaksi masyarakat. Dengan adanya bahasa adanya juga rasa iaitu perasaan yang pelbagai wujud daripada penggunaan bahasa itu sendiri. Situasi yang ingin aku ungkapkan di sini ialah situasi bahasa yang membangkit rasa dalam diri individu masyarakat.  Situasinya mungkin boleh ditafsirkan seperti gambarajah di sebelah.

Ceriteranya:
Apabila kita menyebut tentang rasa, hal ini bermaksud kita menyentuh tentang perasaan. Jadi salah satu situasi perkaitan antara bahasa dan rasa/perasaan yang ingin aku kongsikan di sini ialah situasi mengumpat dan mengejek. Mungkin ada yang beranggapan bahawa mengumpat dan megejek ialah dua perkara yang berbeza, namun perkara utama yang ingin ditegaskan di sini ialah bagaimana bahasa yang digunakan dalam situasi mengumpat dan mengejek itu boleh menimbulkan pelbagai rasa negatif dalam diri masyarakat. Kebiasaannya, orang yang bercakap dengan tujuan mengumpat sememangnya menggunakan bahasa yang kurang elok serta nada dan intonasinya bercakap adalah berbeza daripada perbualan biasa. Misalnya intonasi orang yang mengumpat akan berubah kepada nada rendah dan lebih kepada kesungguhan untuk menyatakan tentang keburukan seseorang berbanding kebaikan. Sesungguhnya, keadaan ini sebenarnya menimbulkan pelbagai rasa negatif dalam diri inidividu yang diumpat dan diejek. Namun, tidak semua situasi ini diketahui oleh tuan empunya badan yang diumpat dan diejek. Namun, hakikatnya, bahasalah yang menjadi wadah dalam menghidupkan situasi mengumpat dan mengejek sama ada menggunakan bahasa lisan ataupun bahasa badan.

" Ketampanan Sosial"

Situasi 29
Satu lagi istilah baru yang aku perolehi pada pembelajaran dalam kelas bersama Prof. Abdullah Hassan pada hari ini ialah istilah 'ketampanan sosial'. Kebiasaannya, jika kita menyebut tentang 'ketampanan' maka perkara yang bermain di fikiran kita ialah seorang lelaki yang mempunyai paras rupa yang elok dan segak. Walau bagaimanapun, apabila istilah ini disertakan dengan perkataan sosial yang mengikutinya menjadi 'ketampanan sosial' maka, ia tidak lagi merujuk kepada keelokkan rupa paras seorang lelaki. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, sosial bermaksud segala yang berkaitan dengan masyarakat. Secara jelasnya, ketampanan sosial seperti yang dinyatakn oleh Prof. Abdullah Hassan ialah keelokan tahap sosial seseorang sama ada dari segi interaksi, bahasa, sikap dan sebagainya yang berkaitan dengan masyarakat. Jadi, situasi yang ingin aku bawakan kali ini ialah situasi bahasa yang sebenarnya melambangkan 'ketampanan sosial' seseorang terhadap bahasa yang digunakan.


Oi! Boleh cepat sikit tak?
Hei..ni..cepat sikit eh!
Pastikan 'ketampanan bahasa'
anda melebihi ketampanan anda.
Hoi!Cepat la sikit!



Ceriteranya
Berdasarkan dialog-dialog di atas, kita tahu bahawa bahasa yang digunakan oleh orang yang mengungkapkannya langsung tidak mempunyai adab berbahasa dengan orang lain. Malah, perkara yang lebih teruk adalah jika kita memanggil orang yang tidak dikenali dengan sapaan hoi, oi, hei dan sebagainya. Walaupun kita tidak mengenali orang tersebut, namun adab dalam berinteraksi masih perlu dijaga. Adab inilah yang sebenarnya membentuk 'ketampanan sosial' sekaligus menjelaskan kepada kita bahawa konsep tersebut memainkan peranan penting kepada kita untuk memelihara bahasa ibunda kita. Sesungguhnya, bahasa ibunda kita adalah bahasa yang sangat beradab dan mempunyai nilai estetika yang tinggi. Dengan itu, wajarlah istilah 'ketampanan sosial' itu digunakan untuk menggambarkan keindahan dan keelokkan bahasa sepertimana istilah ketampanan itu menjadi ukuran untuk menggambarkan keelokkan paras rupa seseorang lelaki. Jangan hanya memiliki rupa yang cantik dan elok tetapi, adab dan budi bahasanya buruk sekali. Jadinya, konsep keelokkan bahasa itu sendiri perlu dipelihara dan dikekalkan melalui adab berinteraksi dengan masyarakat sekeliling.

" Tidak Siuman"

Situasi 28
Belajar adalah sesuatu perkara yang kukira paling mudah berbanding mengajar. Belajar merupakan satu perkara yang paling menyeronokkan. Tambahan pula jika yang mengajar kita adalah guru atau pensyarah kegemaran kita. Situasinya yang ingin aku ceritakan di sini ialah satu perkataan baru yang diungkapkan oleh pensyarah kursus Karya Agung iaitu Prof. Abdullah Hasan dalam kelas bersama kami pagi tadi.

" Janganlah kamu memakai pakaian yang tidak siuman seperti itu". 

Ungkapan sebaris ayat ini diikuti dengan gelak ketawa pelajar di dalam kelas tersebut. Tidak terfikir pula kami akan pakaian juga dikatakan 'tidak siuman'. Katanya, beliau tidak gemar melihat kami memakai pakaian yang mempunyai warna yang melebihi daripada tiga jenis warna. Beliau menyarankan kepada kami agar membuat pemilihan baju yang siuman kerana pada anggapan beliau, baju yang terlalu banyak warna dan terang pula warnanya adalah tidak sesuai untuk dipakai oleh pelajar seperti kami. Lalu dikatakan bahawa baju yang seperti itu adalah baju yang 'tidak siuman'.



 Ceriteranya
Kebiasaannya, istilah 'tidak siuman' ini sinonim dengan perkataan 'gila', 'tidak betul' atau 'tidak waras' yang merujuk kepada manusia yang fikirannya terganggu dan tidak lagi menjadi manusia normal. Ironinya perkataan 'tidak siuman' ini digunakan oleh beliau untuk menggambarkan pakaian yang tidak sesuai untuk dipakai. Hal ini bermaksud, 'tidak siuman' ini sebenarnya juga mungkin boleh memberi makna yang luas untuk menggambarkan tentang sesuatu yang 'tidak betul' dan 'tidak sepatunya berlaku'. Sesungguhnya, ungkapan perkataan ini sebenarnya mungkin juga hanya bertujuan untuk menyelitkan unsur humor dalam menyampaikan sesuatu pesanan sepertimana yang dilakukan oleh Prof. Abdullah Hasan. Jelasnya, situasi bahasa seperti ini kadangkala bakal menjadi ikutan bagi mereka yang mendengar kerana ianya mungkin akan menjadi sesuatu yang mempunyai nilai dalam interaksi sosial untuk menyampaikan pesanan dan nasihat yang berkesan kepada orang lain.

Rabu, 9 Mac 2011

"Loyar Buruk"

Situasi 27
Selalunya, loyar buruk ini dikaitkan dengan sesuatu yang lucu dan kadangkala mengundang rasa sakit hati kerana kelucuan yang ditimbulkan menunjukkan bahawa seseorang itu tidak memberikan penumpuan serius terhadap sesuatu perkara. Situasi yang aku alami ini ialah ketika bersama seorang rakan yang bersikap loyar buruk. Situasinya:

Aku : Tika, aku teringin nak makan ABC la. Kat mana ye yang sedap.
Tika : ABC pun kau nak makan. Makan la ais kacang.
Aku : Bongek la kau. ABC tu ais kacang la.
Tika : Ea??Hehehehe..

Ceriteranya:
Menurut Kamus Dewan, loyar bermaksud orang yang suka berdebat. Apabila digabungkan perkataan loyar dan buruk, maka terjadilah 'loyar buruk' yang membawa maksud orang yang suka berdebat dan membuat hujah yang buruk. Jelasnya, 'loyar buruk' merujuk orang yang gemar membuat 'lawak bodoh' dan kadangkala ia menimbulkan rasa lucu dalam tindakan tersebut. Sesungguhnya, bahasa yang seringkali digunakan dalam situasi 'loyar buruk' ini sebenarnya bahasa yang mempunyai unsur humor. Hal ini kerana, orang yang gemar membuat 'loyar buruk' ini cuba memanipulasi perkara yang diucapkan oleh penutur. Tujuannya mungkin untuk berjenaka atau sekadar hiburan semata-mata.

Gulai lah!

Situasi 26
Situasinya masih berlegar tentang dialek Kedah. Rasa-rasanya kalau anda berasal dari Kedah, mungkin anda beranggapan seperti saya bahawasanya gulai itu adalah sejenis masakan berkuah iaitu lebih dikenali dengan nama kari oleh masyarakat selatan. Situasinya ketika di kafe, aku ingin membeli gulai ayam:

Aku        : Aku teringin nak makan gulai lah.
Rakan 1 : Tu gulai ikan kat depan kau tu.
Aku        : Eh, itu masak lemak ikan. Aku nak makan gulai lah!
Rakan 2 : Gulai la tu. Abis kau nak gulai apa?
Aku        : Gulai, gulai lah! Kari tahu?
Rakan 1 : Ooooo..kari, cakap la kari.


Ceriteranya:
Bezanya hanya pada nama iaitu gulai dan kari. Namun, ia sebenarnya masih merujuk kepada perkara dan benda yang sama. Hakikatnya begitulah yang seringkali terjadi dalam penguacapan bahasa daerah yang kita gunakan dalam pelbagai interaksi masyarakat. Jika menurut makna kamus, gulai merupakan sejenis masakan berkuah. Jadi, tidak salah kiranya perkataan gulai digunakan dalam dialek Kedah. Hal ini kerana, ia masih merujuk kepada masakan yang berkuah seperti kari. Bagi masyarakat selatan, kari ialah sejenis masakan yang dimasak bersama rempah dan gulai cuma dilihat sebagai masakan berkuah selain daripada masakan kari. Cumanya, kekeliruan yang berlaku seperti di atas sebenarnya biasa berlaku dalam interaksi antara dua masyarakat dari daerah yang berbeza dan sekaligus ianya dapat menambah pengetahuan kita tentang bahasa yang digunakan di serata negeri.

Maksud tersirat

Situasi 25
Situasi ini sebenarnya sering berlaku terhadap aku ketika berada di rumah. Mendengar sesuatu yang diungkapkan tetapi membawa maksud yang bertentangan. Secara mudahnya, ia adalah situasi ketika aku dileteri ibu atau ayah aku. Mungkin anda di luar sana juga pernah mengalami situasi sebegini:

"Mak kata tak mau dengaq.
Ha..bawa moto laju-laju lain kali.
Jangan dengar nasihat mak ni
Syok kan dah sakit macam tu"

Ceriteranya:
Sekadar hiasan
Pernahkah anda mendengar ungkapan seperti itu? Ibu menyuruh anaknya menunggang motosikal dengan laju dan melarang anaknya mendengar nasihatnya? Sebenarnya, itulah yang dikatakan maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh seseorang untuk mengubah persepsi penerima mkalumat terhadap apa yang diperkatakan. Kebiasaannya, itulah salah satu kaedah atau cara yang akan diungkapkan oleh seorang ibu kepada anaknya jika apa yang dinasihatinya sukar untuk dituruti oleh anak mereka. Contoh lain yang dapat kita lihat ialah tatakala anak kecil yang degil dan tidak mahu mendengar kata lalu disuruhnya si ibu untuk melakukan apa yang sepatutnya dilarangnya. Hal ini sebenarnya lebih kepada konsep sindirian yang bakal memberi impak yang lebih berkesan untuk menegur. Namun, cara ini perlu dipertimbangkan untuk dilakukan terhadap sesetengah individu. Hal ini kerana, mungkin individu yang lebih bersikap lurus bendul hanya akan mengundang kesusahan kepada mereka. Situasi bahasa seperti ini sebenarnya biasa berlaku dalam kalangan ibu-ibu yang mahu menegur dan memarahi anak dengan cara lebih halus.

Selasa, 8 Mac 2011

Ooooo....???

Situasi 24
Tatkala kami diberi penerangan tentang kaedah menggunakan kamus dala kelas semantik tadi, beberapa orang pelajar memberikan reaksi yang menandakan bahawa mereka baru sahaja mendapat pengetahuan baru. Situasinya,

Oooooo..macam tu...

Ceriteranya
Mengapa kita memberikan reaksi sedemikian? Kenapa bukan 'o' sahaja dan kenapa bukan 'a' atau 's' atau abjad lain? Sedar atau tidak, itu merupakan salah satu situasi bahasa yang digunakan untuk menggambarkan perasaan yang lahir dari pemikiran kita. Perkataan lain yang biasa disebut misalnya:

'Ek'
'Waaaaaa..'
'Eeeeeee'
'Haaa??'


Saya percaya bahawa itulah ungkapan dan reaksi yang bakal kita berikan tatkala kita terkejut, teruja, suka atau tidak suka terhadap sesuatu perkara. Secara kesimpulannya, reaksi sedemikian adalah salah satu situasi bahasa yang biasa berlaku dalam masyarakat kita sebagai tanda penglahiran perasaan yang dijana oleh minda sama ada secara sengaja atau tidak dalam memberikan respon terhadap penutur.

"Mandi tak basah"

Situasi 23
Beberapa hari lepas, aku bersama dua orang rakan ingin menikmati makanan di salah sebuah kedai di Johor Bharu. Aku sebenarnya bukan berasal dari Johor, namun setelah selesai tugasku membuat pengajaran makroteaching di sekolah, aku dibawa oleh teman baikku menjelajah sekitar beberapa kawasan di Johor Bahru. Kami ditemani oleh seorang rakannya yang berasal daripada kawasan tersebut. Setibanya kami di salah sebuah restoran di Johor, situasinya:

Rakan 1: Baru nak makan kat kedai tu. Mandi ar kat situ.
Rakan 2: Ala..kecewa.
Aku      : Mandi?
Rakan 2: Didi, kau tau tak apa maksud mandi yang anep cakap tu?
Aku      : Mana aku tau. Mandi apanya?
Rakan 1: Didi, mandi tu maknanya orang ramai. Ni la dikatakan bahasa anak-anak muda remaja sekarang, moden.
Aku      : Ooo...macam 2.


Ceriteranya:
Alkisahnya, baru kali pertama aku mendengar perkataan yang pelik digunakan oleh anak-anak muda remaja kini. 'Mandi' yang dimaksudkan oleh rakan kepada rakan aku itu ialah suasana yang menunjukkan sesuatu kawasan atau tempat yang dibanjiri oleh ramai orang. Ironinya, perkataan mandi disamakan dengan situasi tersebut. Hal ini kerana, jika kita mandi, maka banyak air yang akan membasahi tubuh badan kita maka keadaan ramai orang itu juga dikatakan seperti 'mandi'. Jika difikirkan semula, ada juga perkaitan tersebut dengan suasana yang cuba diungkapkan. 

Hewan atau haiwan

Situasi 22
Aku bersama teman sebilikku mejalankan rutin harian, membuat tugasan dan melayari internet. Seperti biasa rakan bilik aku gemar menyanyi dan mendengar lagu dan sama juga seperti aku. Tiba-tiba pula aku mengeluarkan logat Kedahku ketika menegurnya yang sedang enak membuai alunan suaranya dengan lagu Yuna,  berjudul Gadis Semasa.

Aku     : Weh, asyik hewan ja kau ni.
Rakan : Ha? Apa kau cakap? Haiwan? Apa benda yang haiwannya?
Aku     : Hehehe..Hewan lah! Bukan haiwan.
Rakan : Apa tu?
Aku     : Ha..mai sini aku nak habaq...haiwan tu binatang..yang aku cakap tadi hewan bermaksud berhibur atau bernyanyi. Macam engkau la, asyik menyanyi ja.
Rakan : Oooo...eleh..cakap orang. Dia pun sama.

Ceriteranya:
Dialek Kedah yang aku gunakan telah mengundang kekeliruan kepada rakan aku. Perbezaan dialek ini sebenarnya kadagkala menyekat penyampaian mesej antara penutur dan pendengar. Dari situ, wujudnya kekeliruan dan mesej yang disampaikan lambat diterima oleh penerima.  Oleh itu, penggunaan dialek ini mungkin boleh diterima oleh sesetengah masyarakat bergantung kepada maksud perkataan yang digunakan. Hal ini kerana, bagi sesetengah dialek, maksud perkataan bagi dialek yang digunakan di negeri lain mungkin membawa maksud lain yang negatif.

" Faham ke tidak?"

Situasi 21
Anak buah aku yang berusia dalam lingkungan 2 tahun lebih bertutur dengan bahasanya sendiri:


na na na...
ma ma ma...
hishhh!!
ndak..aa..



Ceriteranya
Anda faham atau tidak, itulah yang seringkali keluar daripada mulut kanak-kanak yang menggunakan pemerolehan bahasa pertamanya untuk berkomunikasi dengan persekitarannya. Telatah comel kanak-kanak ini seringkali mencuit hati mereka yang melihat. Tutur bicara yang mungkin langsung tidak kita fahami itu sebenarnya merupakan bahasa yang mereka gunakan untuk meluahkan sesuatu. Mungkin untuk menyatakan 'tidak', 'mahu', dan mungkin mereka sedang memperkatakan tentang sesuatu. Sesungguhnya, segala ujaran yang keluar daripada mulut si kecil itu adalah pemerolehan bahasa pertama yang mereka peroleh daripada orang dewasa di sekeliling mereka khasnya ibu dan bapa mereka. Dengan itu, mereka membesar dengan bahasa tersebut sehinggalah mereka benar-benar mampu untuk menyebut tentang sesuatu dalam bahasa yang betul dan boleh difahami oleh kita.

"Banyaknya ragam bahasa"

Situasi 20
Semalam, aku bersama seorang rakan pergi ke pekan. Kami menaiki bas kitaran UPSI yang sedia ada di hadapan kampus. Walau bagaimanapun, kami terpaksa menahan bas tersebut memandangkan bas tersebut sudah pun bergerak. Kami bernasib baik kerana bas itu baru bergerak dan kami sempat menahan bas tersebut. Rakanku melambai ke arah bas tersebut menandakan kami ingin menaiki bas tersebut. Bahasa badan sebegitu sememangnya sudah biasa digunakan dan sebati dengan masyarakat. Umpamanya ketika kita ingin menahan teksi dan bas, kita akan menggunakan gerak tangan untuk menyuruhnya berhenti menandakan kita mahu menaiki kenderaan tersebut. Satu lagi situasi bahasa badan ialah gerak tangan orang kurang bisu untuk berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling. Hal ini kerana, ketika kami sedang berjalan menuju ke restoran Pizza Hut di seberang jalan, aku terpandang seorang wanita yang sedang memandu berkomunikasi dengan penumpang di sebelahnya dengan menggunakan bahasa isyarat. Pada tanggapan aku, wanita tersebut adalah bisu dan dia mampu berkomunikasi degan menggunakan bahasa isyarat meskipun sedang memandu.


Ceriteranya:
Berbagai ragam bahasa yang boleh kita gunakan untuk berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling. Jelasnya, kita tahu bahawa wujudnya pelbagai ragam bahasa sebegini maka interaksi kita menjadi tidak terbatas. Justeru, penggunaan bahasa isyarat yang wujud dalam pelbagai ragam masyarakat ini merupakan situasi bahasa yang wajar digunakan sebagai alat perhubungan sosial yang tidak membataskan hanya kepada pertuturan semata-mata.

" Bolehkah begitu?"

Apabila berbual dengan rakan yang bukan seagama dengan kita kadangkala kita juga terikut dengan rentak tutur bicara mereka. Misalnya apabila kita berbicara dengan kaum india atau cina kadangkala tanpa disedari kita terus mengikut rentak mereka tatkala mereka berbahasa Melayu. Situasinya, aku teringat akan perbualan ibu aku bersama seorang jiran kami yang berketurunan India:

Situasi 19
Penutur 1: Apa macam dia bikin itu macam?
Penutur 2: Saya pun tada tau la apa macam punya ini orang.
Penutur 1: Ini macam punya orang kalu,tada boleh tengok orang senang.Ada betoi ka?
Penutur 2: Betul betul. Bikin orang lain susah saja.

Ceriteranya:

Sedar atau tidak, itulah hakikat yang berlaku dalam situasi perbualan kita seharian. Keadaan ini berlaku mungkin kerana kita sebagai penutur asli bahasa Melayu ingin memudahkan komunikasi bersama kaum lain yang cuba berbahasa Melayu meskipun bahasa yang dituturkan bukanlah bahasa Melayu baku. Pada kebiasaannya, kita bertutur untuk terus kepada matlamat utamanya iaitu mesej yang ingin disampaikan dan diterima adalah jelas oleh kedua-dua belah pihak. Justeru, penggunaan bahasa Melayu mudah digunakan untuk menyelaraskan dengan penutur dan penerima. Dengan itu, kaum selain bukan Melayu akan merasakan bahawa mudah untuk mereka bertutur dalam bahasa Melayu meskipun bahasa yang digunakan melanggar hukum tatabahasa. Hal ini kerana, bahasa tersebut masih dianggap bahasa Melayu. Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu sedemikian sebenarnya boleh dianggap relevan dengan kaum lain yang tidak fasih berbahasa Melayu kerana ia bebas digunakan oleh seluruh anggota masyarakat tidak mengira kaum dan keturunan. 



"Mak selalu kata..."

Situasi 18
Situasinya aku mengimbau kembali kata-kata ibu aku yang gemar menggunakan kata-kata yang menunjukkan sesuatu yang berlebih-lebihan. Dahulunya seringkali menimbulkan tanda tanya dalam benak fikirku. Mak aku selalu mengungkapkan perkataan seperti:



manis melecas
masin pekak
pait bedengung
putih melepak
hitam legam
besaq gedabak
cantik bukan main




Ceriteranya:
Beberapa perkataan tersebut biasanya digunakan oleh penutur dari daerah utara. Namun, aku sendiri tertanya-tanya bagaimana perkataan tersebut diselitkan dalam mengungkapkan kebanyakan kata sifat/ adjektif seperti manis, pahit, masin, hitam, putih, cantik dan cantik. Alkisahnya, pada kebiasaannya, ungkapan tersebut timbul apabila sesorang itu merasakan bahawa keadaan tersebut adalah 'paling' iaitu sesuatu perkara berlaku lebih daripada kebiasaannya. Maksudnya di sini, manis melecas itu melambangkan makanan yang terlalu manis dan bukannya manis yang sedikit. Jika masin, ia bukanlah masin seperti biasa malah terlalu masin dan dari situlah maka timbulnya perkataan 'masin pekak' yang melambangkan rasanya terlalu atau sangat masin sehingga mungkin tidak boleh diterima oleh seseorang untuk merasai keadaan itu. Kebiasaannya 'manis melecas' dan 'masin pekak' ini digunakan untuk mengungkapkan makanan. Jadinya, makanan tersebut tidak boleh dimakan kerana terlalu masin ataupun manis. Kesimpulannya, perkataan-perkataan yang mengikuti kata adjektif yang diungkapkan dia atas adalah untuk menunjukkan sesuatu keadaan atau situasi yang melampau dan berlebihan.

"Pengaruhkah?"

Kebiasaannya kita akan mudah terpengaruh dengan sesuatu perkara apabila kita memang sentiasa berada dalam situasi lain daripada kebiasaan kita. Salah satunya, pengaruh perbualan dan ujaran yang keluar daripada mulut kita. Hari-hari yang aku lalui bersama beberapa orang rakan daripada Johor kadangkala membuatkan aku turut terpengaruh dengan dialek yang mereka gunakan. Apabila difikirkan semula, terdapat satu situasi bahasa yang sangat menarik perhatianku. Perkataan yang huruf akhirnya ditukarkan daripada abjad 'ar' kepada abjad 'o'.

Situasi 17
Perbualan seharian yang menggunakan beberapa perkataan yang pada akhir perkataan tersebut mempunyai abjad 'ar' ditukarkan kepada abjad 'o'.
Misalnya:
tukar      -  tuko
bakar     -  bako
ajar        -  ajo
gambar   -  gambo
gebar     -  gebo

Ceriteranya:
Kebanyakan perkataan yang tersenarai di atas merupakan perkataan yang sering digunakan oleh rakan-rakan aku yang berasal daripada Johor. Namun, perkataan tersebut sebenarnya tidak mengganggu mesej yang ingin disampaikan ketika proses komunikasi berlaku. Hal ini kerana, jika dibandingkan dengan dialek Kedah iaitu dialek yang aku gunakan ianya disebut dengan menggantikan perkataan 'aq' menjadi tukaq, bakaq, ajaq dan sebagainya. Jelasnya, abjad pada hujung perkataan yang ditukarkan daripada bahasa bakunya tidaklah menjejaskan maksud yang ingin disampaikan oleh si penutur asalkan si penerima masih boleh mengagak dan cuba meneka maksud perkataan yang diujarkan berikutan perkataan yang digunakan adalah hampir sama dengan ejaan dan sebutan asalnya.

Isnin, 7 Mac 2011

"Assalamualaikum Cikgu"

Jumaat lepas, aku bersama seorang lagi rakan telah menjalankan sesi pengajaran di sekolah atas tuntutan kursus universiti. Kami menjalankan pengajaran makroteaching tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan Semenchu, Johor. Pengalaman bergelar seorang guru sebenarnya mengajar aku untuk membina keyakinan diri apabila berhadapan dengan pelbagai situasi di sekolah. Matlamat utamanya ialah aku harus menggalas satu tanggungjawab besar dalam mendidik dan mengajar anak bangsa. Sesungguhnya, cikgu merupakan tiang tempat mereka berpaut untuk menempa kejayaan dan menjadi pendorong untuk mereka berjaya. Aku berani mengatakan sedemikian kerana aku juga seorang pelajar satu ketika dahulu dan masih lagi bergelar pelajar sehingga ke hari ini. Situasinya:


Situasi 16
Latar tempat:  Perkarangan tapak perhimpunan Sekolah Menengah Kebangsaan Semenchu
Latar masa:    Sewaktu perhimpuan harian bermula.
Jam:               8.00 pagi.

Pelajar:  Assalammualaikum cikgu!
Kemudiannya diikuti oleh beberapa orang pelajar lain turut memberikan salam.
Aku:     Waalaikummussalam. ( Dengan senyuman terukir )

Ceriteranya:
Sesekali rasa berbangga dengan gelaran tersebut dan diberi perhatian sedemikian rupa. Dengan lagak gaya dan penampilan seperti seorang guru maka, mana mungkin pelajar tidak mengenali bahawa aku adalah seorang guru meskipun aku baru sahaja berada di situ. Sebagai seorang guru, maka aku disapa sedemikian. Sama juga situasinya jika aku adalah seorang pegawai di salah sebuah syarikat swasta maka, mungkin orang akan mengucapkan Assalammualaikum Cik atau selamat pagi Cik. Bezanya hanyalah pada gelaran dan jawatan yang kita ada pada ketika masyarakat mengenali kita. Ia tetap merupakan satu situasi yang dapat mengungkapkan bahasa sekaligus menjadi wahana pengucapan yang menjadi simbol komunikasi antara dua atau lebih daripada satu pihak. Sapaan pelajar tersebut menunjukkan kepekaan masyarakat terhadap bahasa yang boleh digunakan sebagai pemudah cara untuk mewujudkan hubungan sosial yang wajar. Jelasnya, dapat aku simpulkan di sini bahawa komunikasi dua hala boleh berlaku dalam apa juga situasi dan cara meskipun hanya satu atau dua ungkapan perkataan.

Jumaat, 18 Februari 2011

"Unsur peribahasa"

Situasi 15:
Tatkala jari mula menaip untuk menyiapkan tugasan kursus Semantik dan Pragmatik, aku dihimpit rasa kantuk yang tidak tertahan lalu aku membuka laman 'You Tube' untuk mencari lagu yang boleh menghilangkan rasa kantukku. Lagu 'Aku Kehilanganmu' nyanyian Francisca Peter menjadi pilihan aku. Sebenarnya mak aku peminat setia lagu-lagu Frasncisca. Mari kita nyanyi bersama:

 Ceriteranya:
Sama ada anda perasan atau tidak, lagu ini sebenarnya menyelitkan peribahasa Melayu yang sangat menarik perhatianku untuk menceritakan di ruangan blog ini. 'Bagaikan aur dengan tebing' ialah peribahasa yang diselitkan dalam lagu ini. Seingat aku, inilah lagu pertama yang menyelitkan unsur peribahasa dalam bait-bait katanya. Jarang sekali kita menggunakan unsur peribahasa dalam kehidupan seharian kita apatah lagi ketika mengujarkan sesuatu. Maksud peribahasa tersebut ialah hubungan yang rapat antara satu sama lain dan saling memabantu. Contoh-contoh peribahasa lain yang terdapat dalam bahasa Melayu ialah :
1. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.
2. bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.
3. bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.
4. melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.
5. duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat
6. seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang
7. yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.
8. dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud : segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.
Penggunaan peribahasa dalam menyampaikan nasihat adakalanya memperlihatkan sindiran namun, ia masih dalam unsur yang penuh kelembutan. Sebenarnya banyak lagi peribahasa yang terdapat dalam bahasa Melayu.Bercerita tentang peribahasa teringat pula kepada ibu aku yang kadangkala gemar menyelitkan unsur peribahasa dalam segala nasihat yang disampaikan kepada anak-anaknya. Salah satu dialog yang keluar daripada mulutnya dan masih terpahat dalam mindaku ialah:
"Kena la belajaq betoi-betoi kalau nak berjaya. Takkan tak da usaha rezeki
nak mai begolek. Orang tua-tua kata apa?"Manakan dapat sagunya kalau
tak dipecahkan ruyung". 
Lebih kurang begitulah kata-kata ibu aku kepada adik-adik aku. Sebenarnya, unsur peribahasa ini sangat baik untuk digunakan dalam pelbagai situasi terutama dalam penyampaian mesej dan nasihat. Namun, jarang sekali rasanya kita menggunakan unsur peribahasa ini dalam kehidupan seharian. Sebagai seorang bakal guru, aku sendiri ingin mengingatkan diri dan rakan-rakan agar tidak terlupa untuk menyelitkan unsur peribahsa Melayu dalam pengajaran kelak. Hal ini mungkin menjadi cara terbaik untuk terus menghidupkan pusaka bahasa sejak dahulu dan sepanjang waktu. Justeru, anak-anak muda kini dapat meneruskan warisan bahasa Melayu yang kaya dengan pelbagai peribahasa.

"gagau?"

Situasi 14:
Dialek merupakan salah satu ragam bahasa manusia yang kadangkala boleh menimbulkan kekeliruan dan kekaburan dalam menyampaikan sesuatu maksud ujaran. Hal ini kerana, perbezaan dan persamaan maksud kadangkala menghalang mesej sebenar yang ingin disampaikan oleh si penutur atau si pembicara. Hal ini berlaku dalam satu situasi perbualan aku bersama seorang rakan.

Alkisahnya:
Si A :   Didi, kat mana letaknya? Takde pen.
Aku :   Ada la kat dalam beg tu. Cuba gagau lain.
Si A :  Hah? Gagau? Gagau tu apa?
Aku :  Ko tak tau ek gagau tu ape? Gagau bahasa Kedah. Maksudnya, meraba-raba sesuatu. Sama macam mencari la.
Si A : Oooooo...

Ceriteranya:
Mengikut Kamus Dewan Edisi Ketiga, dialek bermaksud satu bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial yang berbeza daripada bahasa standard, loghat, pelat, daerah, negeri dan lain-lain lagi. Misalnya dialek kelantan, perak dan sebagainya. Oleh sebab perbezaan inilah adakala mesej yang ingin disampaikan oleh si penutur masih kabur terhadap penerima maklumat. Misalnya perkataan 'gagau' yang aku gunakan, menimbulkan tanda tanya terhadap rakanku kerana dia merupakan orang Johor dan perbezaan negeri inilah yang membuatkan bahasa yang digunakan oleh mereka berbeza dengan bahasa yang aku gunakan walaupun maksudnya adalah sama. Setelah diterangkan maksud perkataan itu, barulah mereka faham terhadap maksud perkataan 'gagau' sebenarnya sama dengan maksud 'meraba-raba' atau mencari sesuatu. Jelasnya, dialek antara negeri sebenarnya boleh menimbulkan kekaburan makna yang ingin disampaikan oleh si penutur meskipun maksud sebenar perkataan tersebut sebenarnya adalah sama seperti perktaan yang biasa digunakan oleh dialek neger-negeri lain. Namun begitu, adakalanya sestengah perkataan dialek juga adalah berbeza dari segi maksud dan dan juga perkataannya. Misalnya 'roti' dalam fahaman orang dan dialek Kedah adalah semua jenis roti termasuk biskut, namun bagi orang Johor 'roti' dan biskut adalah benda yang berbeza.

Khamis, 17 Februari 2011

"Kata Beliau"


Prof. Emeritus Abdullah Hassan


                            Situasi 13:
             Huh?
             Hah?
           Haa????





Pernah tak rasanya anda memberi respon secara terkejut lalu mengeluarkan perkataan seperti di atas?Rasanya itulah yang biasa kita lakukan tatkala kita memberi respon yang menunjukkan kita terkejut dengan sesuatu perkara atau keadaan. Misalnya dalam kelas Karya Agung pagi tadi, kami bersama-sama dengan Prof. Emeritus Abdullah Hassan sebaris ayat yang keluar daripada mulut beliau mengejutkan beberapa pelajar di dalam kelas tersebut. Dialog yang ditulis bukanlah dialog sebenar-benarnya tetapi demikianlah sedikit sebanyak yang aku ingat tentang kata-kata beliau:

Prof      : Saya akan mengeluarkan beberapa orang pelajar daripada kumplan ini.
Pelajar : Hah? ( dengan riak muka yang sangat hairan)
Prof      : Tidak perlulah anda memberi respon sedemikian walaupun anda terkejut.  Cukup sekadar bertanya 'mengapa dan kenapa'.  Muka je cantik, tetapi kamu tahu tak sebenarnya kalau yang perempuan akan hilang ciri-ciri kewanitaan apabila kamu membuat reaksi sedemikian.

Ceriteranya:
Seketika aku terasa lucu dengan apa yang diperkatakan oleh Prof. dan ada juga betulnya tentang apa yang diperkatakannya kepada kami. Aku jadi sangat tertarik kepada cara beliau menerangkan situasi terkejut yang 'kurang sopan' itu. Beliau berkata bahawa itulah masalah kita apabila memberi respon tentang sesuatu yang kita tidak jangkakan. Tambahnya lagi, tidak perlu berbuat demikian dengan ditambah pula memek muka yang sangat lucu bagiku tetapi pesanannya sangat bermakna terutama kepada kami yang bakal bergelar seorang guru wanita. Katanya, respon sedemikian sebenarnya menunjukkan kita kurang sopan dengan kadangkala suara yang agak kuat dan menghilangkan ciri kewanitaan dalam diri sesorang wanita. Huh, merupakan salah satu bahasa lisan yang biasa kita dengar tatkala menunjukkan sesorang itu ingin mengekspresikan perasaan terkejutanya sama ada secara sengaja atau tidak. Kebiasannya, apabila kita bercakap tentang terkejut sememangnya ia adalah sesuatu perkara yang berada diluar jangkauan kita. Namun, ia boleh dikawal sekiranya kita cuba mengawal perasaan kita dari menuturkan bahasa seperti itu. Mungkin kita boleh terus mengemukakan persolan jika kita sememangnya terkejur seperti yang diperkatakan oleh Prof. iaitu bertanya kenapa begitu dan mengapa?