JellyPages.com

Selasa, 25 Januari 2011

Ops! Tak Perasan...

Kaler ijau, kaler coklet, kaler-kaler atau......warna coklat, warna hijau, warna-warni? Yang mana satukah yang selalu anda gunakan ketika hendak mengungkapkan tentang sesuatu yang berwarna atau sesuatu warna? Rasa-rasanya ada juga yang masih tidak perasan terhadap penggunaan kata dalam bahasa yang digunakannya. Salah satunya situasi adalah seperti dialog di bawah......

Situasi 6:
Zulaikha:  Ko rase baju aku ni kene dengan tudung kaler ni ke kaler brown td?
Atiqah   :  Kaler coklat tadi kene sikit.
Diana    :  Weh!Ape la korang ni kaler kaler. Warna lah! Kaler tu kan bahasa inggeris. COLOUR!
Zulaikha:  Ha ah la weh. Tak perasan pulak. Kaler tu bahasa Inggeris. Haha
( Diikuti dengan gelak tawa kami bertiga)

Ceriteranya:

Sedar atau tidak, seringkalinya kita tetap akan menggunakan istilah sedemikian dalam perbualan seharian kita. Jelasnya, kita sebenarnya banyak menggunakan kata pinjaman daripada bahasa Inggeris. Ini juga merupakan salah satu fenomena yang dianggap sebagai biasa dan akhirnya akan menjadi satu kebiasaan kepada kita. Oleh sebab menjadi kebiasaan itulah maka banyak penggunaan kata dalam bahasa yang kita gunakan sedikit sebanyak mencemarkan bahasa ibunda kita. Sesetengah masyarakat sekarang pula lebih suka menggunakan kata ganti nama diri dalam bahasa Inggeris misalnya I,you dan sebagainya. Fenomena itu adakalnya berlaku secara sengaja dan kita tahu bahawa percampuran bahasa itu sering digelar 'bahasa rojak'. Rojak memang enak dimakan sebaliknya bahasa rojak tidak perlu disamakn seperti rojak yang kita makan. Namun, situasi yang berlaku dalam dialog di atas sebenarnya adalah secara tidak sengaja kerana mungkin 'kebiasaan' itu yang melalaikan kita terhadap istilah yang kita gunakan. Secara kesimpulannya, ingin saya nyatakan di sini bahawa adalakanya kita mungkin tidak sengaja untuk mencampuradukkan bahasa yang digunakan, namun adakalanya juga ada segilintir masyarakat yang berbangga dengan 'bahasa rojak' yang digunakan.

Sabtu, 22 Januari 2011

"Yang Mana Satu"

Seringkali kita melihat papan-papan tanda di jalan raya dan di mana-mana jua sebagai tanda petunjuk destinasi atau papan tanda larangan dan sebagainya. Kita tahu bahawa itu adalah salah satu penggunaan bahasa dalam sistem komunikasi kita dengan persekitaran. Baru-baru ini aku bersama keluarga pergi ke Ipoh dengan tujuan untuk menemui kakak aku yang baru menamatkan pengajiannya dalam bidang kejururawatan di sana. Oleh sebab kami terlupa jalan menuju ke Hospital Besar Ipoh, maka suasana di dalam kereta menjadi sedikit buntu. Dalam kekalutan kami mencari hala tuju untuk ke Hospital Besar Ipoh...

Situasi 5:
Abang : Kot mana ni nak p. Abang tak ingat la. Mama ingat dak? Cuba tanya kakak.
Mak    : Cuba talipon tanya dia.
Aku     : Papan tanda pon xjupa lagi no. Awat depa kedekut papan tanda sangat. Tadi ada satu ja. Ni ada simpang nak p kot mana plak.


Ceriteranya:
Dialog tersebut adalah penggunaan dialek Kedah. Mohon maaf kepada sesiapa yang kurang faham akan penggunaan bahasa tersebut. Namun, apa yang ingin aku bicarakan di sini ialah penggunaan papan tanda di jalan raya. Begitulah jadinya jika papan tanda tidak wujud di jalan raya. Mungkin akan menyebabkan kesusahan kepada pengguna. Secara jelasnya, kita perlu tahu bahawa penggunaan papan tanda mengenai segala arahan yang berada di sekeliling kita merupakan satu cara penggunaan bahasa dalam komunikasi kita dengan persekitaran. Dengan adanya papan-papan tanda tersebut maka, kita faham bahawa itu adalah satu cara komunikasi yang boleh digunakan untuk memberi isyarat dan arahan meskipun tanpa penggunaan bahasa melayu baku atau hanya komunikasi bahasa bersama manusia. Pernahkah anda menemui papan tanda begini?;
 'Jalan ini menuju ke Hospital Besar Ipoh','Sila belok ke kiri untuk menuju ke Ipoh'.
Tidak perlu penggunaan bahasa sedemikian kerana kita faham terhadap arahan papan tanda di jalan raya yang digunakan sebagai bahasa isyarat untuk memberi panduan kepada kita. Secara kesimpulannya, bahasa digunakan di mana-mana dengan pelbagai cara untuk memudahkan komunikasi serta perhubungan kita dengan persekitaran kita.

Memudahkan atau menyusahkan?

Bahasa itu indah biasa kita dengar sebagai melambangkan indahnya bahasa ibunda kita. Bukankah bahasa ibunda kita adalah bahasa yang sememangnya mudah untuk dipelajari? Tetapi, sedar atau tidak kita sendiri sebenarnya lebih cenderung untuk lebih menggunakan bahasa yang lebih mudah dengan erti kata lain mudah daripada apa yang lebih mudah.  Apa yang ingin saya perkatakan tentang bahasa yang lebih mudah ini ialah penggunaan bahasa dalam khidmat pesanan ringkas (SMS). Satu SMS yang saya terima baru-baru ini....

Situasi 4:
Sekom.wat pew 2?
ang lek kdh bla wey?
jom lek ngn aku....

Ceriteranya:
Bahasa yang digunakan oleh rakan saya itu memang bahasa Melayu mudah tetapi dimudahkan lagi dengan singkatan yang kadangkala lebih menyusahkan pula bagi segelintir golongan masyarakat. Misalnya golongan selain daripada golongan remaja. Percontohan di atas adalah lebih mudah berbanding beberapa bahasa SMS lain yang lebih sukar untuk dibaca. Misalnya 'tak' diringkaskan menjadi 'x', itu diringkaskan menjadi '2' dan banyak lagi bahasa ringkasan yang adakalanya memang terlalu sukar untuk ditafsir sehingga mengambil waktu yang agak lama untuk mengenalpasti pesanan yang cuba disampaikan. Secara kesimpulannya, masyarakat hari ini lebih cenderung untuk menjadikan bahasa yang sedia mudah kepada bahasa yang lebih susah atau mungkin menjadi kebiasaan bagi masyarakat hari ini untuk memodenkan bahasa seiring zaman yang serba canggih kini. Walau apa pun kesimpulan yang kita buat, seharusnya bahasa ibunda kita perlu dipelihara agar generasi akan datang mampu meneruskan perjuangan memartabatkan bahasa ibunda kita.



Jumaat, 21 Januari 2011

" Kebiasaannya.. bingkisan dialog "

Kehadiran kakak bersama suami dan anak-anaknya ke rumah sewa aku pada jumaat baru-baru ini mencetus satu situasi bahasa yang ingin aku kongsikan bersama. Mungkin ada yang dapat mengenalpasti dialek yang digunakan. Maklumlah, aku anak utara. Alkisahnya...

Situasi 3

Si anak  : Mama mama...baby teyak. 
Si Ibu    : Suruh papa tengokkan baby sat. Papa! Tengokkan baby pasaipa tu
Si ayah  : Kakak bawa baby mai kat papa.

Ceriteranya:
Ini adalah sedikit bingkisan dialog yang mungkin terlalu biasa kita dengar. Namun, cuba kita perhatikan penggunaan kata-kata dalam dialog tersebut. Mama, papa, baby. Apa pendapat anda mengenai tiga perkataan yang digunakan dalam dialog tersebut? Biasa didengar bukan? Itulah yang ingin aku utarakan mengenai bingkisan dialog ini. Biasa, namun tanpa kita sedari bahasa yang kita gunakan sehari-hari bukanlah bahasa ibunda kita yang sebenar. Namun, disebabkan 'kebiasaannya' itulah yang menyebabkan kita melihat penggunaan sesuatu bahasa itu sebagai sesuatu bahasa yang mudah walaupun adakalanya bahasa itu bukanlah bahasa kita. Meskipun bahasa Melayu juga menerima banyak kata pinjaman asing, namun apa yang ingin aku perkatakan di sini ialah 'kebiasaan' kita mudah terpengaruh dengan bahasa asing dalam percakapan. Mungkin kerana enak didengar atau mungkin kerana kita gemar kerana ia adalah satu 'kebiasaan'.

Rabu, 19 Januari 2011

"Bila Lidah Berbicara"

Hendak memulakan bicara atau mengeluarkan kalimah dari mulut harus memikirkan juga keadaan sekeliling. Adakalanya tutur kata kita mengguris hati sesetengah pihak. Bagi situasi yang cuba aku ungkapkan kali ini adalah situasi bahasa yang sebenarnya boleh dianggap agak kasar. Sebenarnya, aku juga adakala berbahasa begitu namun, hanya kepada teman yang betul-betul rapat dengan aku. Situasinya adalah ketika aku beratur menunggu bas UPSI yang sangat bersopan santun di jalan raya sehinggakan pelajar-pelajar terpaksa beratur panjang untuk menaiki bas ke kampus. 


Situasi 2:
Wanita 1: Oit, sorang je ke?Mane lagi sekor?(sambil berjalan menuju ke barisan menunggu bas)
Wanita 2: Sekor lagi tak de kelas hari ni. (sambil mengekori rakannya dari belakang)

Ceriteranya:
Bahasa yang kurang sopan digunakan sebagai ganti nama kepada seseorang jika dilihat dari aspek bahasa yang sebenar. Tetapi, rasanya bagi sesetengah golongan masyarakat seperti mereka, tidak menjadi halangan dan kesalahan untuk menggunakan bahasa sebegitu bersama rakan-rakan sebaya atau teman rapat. Walau bagaimanapun, bahasa yang digunakan ini tidak sesuai kiranya kita berbicara atau menggunakan kata ganti nama terhadap orang yang lebih tua atau orang yang kita baru kenal. Mungkin akan menyentuh sensitiviti sesetengah pihak. Apa yang dapat aku simpulkan di sini ialah penggunaan bahasa sedemikian sebenarnya timbul juga dalam kalangan masyarakat hari ini namun, hanya terhadap golongan tertentu. Walaupun kata 'sekor' itu pada kebiasaannya digunakan sebagai kata ganti nama binatang, namun adakala ia diabaikan tatkala bahasa tersebut dianggap sebagai satu gurauan. Apa pula komen anda berkenaan penggunaan kata ganti nama sedemikian? Adakah anda merasakan bahawa penggunaan bahasa tersebut terlalu biadap untuk digelarkan kepada seseorang? Sebenarnya, ia terpulang kepada pendapat individu yang menilai situasi bahasa yang digunakan terhadap mereka.

Selasa, 18 Januari 2011

Bahasa Menghayut Rasa

Situasi pertama yang menarik perhatian aku untuk mengungkapkan semula dialog tersebut adalah situasi peniaga di pasar Tanjung Malim pada Sabtu lepas. Aku bersama dua lagi rakan baikku memang bercadang untuk mencari situasi berkaitan penggunaan bahasa yang boleh digunakan untuk diketengahkan sebagai tugasan dalam blog ini. Ketika kami membeli buah di sebuah gerai, tercetus satu idea akibat penggunaan bahasa oleh seorang peniaga buah di situ. Penggunaan bahasanya mungkin biasa bagi sesetengah orang yang biasa mendengar bahasa pasar, tetapi apa yang lebih menarik ialah bahasa tersebut menjadi ajukan oleh seorang kanak-kanak kecil yang berusia dalam lingkungan empat tahun. Ajukan kanak-kanak  terhadap bahasa tersebut menarik perhatian kami bertiga memandangkan terkeluar satu perkataan daripada suara comel kanak-kanak itu.

Situasi 1
Penjual buah: Mari adik, mari kakak buah murah..saploh lima!saploh lima!
Zulaikha (pembeli buah) : Berape ni bang?
Penjual buah: Sepuluh biji lima ringgit dik. Saploh lima! Saploh lima! (Meneruskan teriakan untuk menarik perhatian pelanggan)
Kanak-kanak: Saploh saploh saploh.(Seolah-olah memperoleh sesuatu kata yang baru dan terus mengajuk dengan suara kecilnya yang comel itu)  

Ceriteranya:
Situasi di atas menggambarkan bahasa yang digunakan oleh sesetengah masyarakat hari ini dalam kehidupan seharian. Daripada dialog di atas, dapat disimpulkan bahawa penggunaan bahasa oleh penjual buah untuk menarik perhatian pembeli terpesong daripada laras bahasa yang betul. Disebabkan penggunaan bahasanya itu maka, akan terkesan dan memberi pengaruh yang kurang baik kepada masyarakat sekeliling. Antaranya kanak-kanak yang baru berusia dalam lingkungan empat tahun terdengar bahasa yang digunakan oleh penjual itu di situ lalu mengajuk kata-kata penjual tersebut. Oleh itu, penjual tersebut tidak seharusnya menyebut perkataan sepuluh dengan perkataan 'saploh'. Tetapi tidaklah pelik jikalau pengggunaan bahasa pasar seperti itu digunakan untuk tujuan seperti itu. Apa yang dapat saya simpulkan di sini ialah bahasa tersebut sememangnya bahasa yang biasa digunapakai di tempat-tempat seperti itu. Bahasa yang digunakan adalah bahasa pasar yang menjadi kebiasaan bahasa komunikasi di pasar dan ia tidaklah terlalu janggal memandangkan itu adalah salah satu kaedah mereka untuk menarik perhatian pembeli.

Selasa, 11 Januari 2011

Bermulanya Sebuah Ceritera

Alhamdulillah..pertama kali rasanya berjaya menghasilkan sebuah blog, walaupun sebenarnya sebelum ni ada juga percubaan aku untuk menceburkan diri dalam dunia blogger dan hasilnya aku tidak berjaya...haha.Oleh sebab kali ini pelajar KURSUS SOSIOLINGUISTIK MELAYU diwajibkan menghasilkan sebuah blog, maka aku yang turut mengambil kursus tersebut harus menjayakan blog ini walaupun tidaklah sepandai mana menyusun kata dalam meluahkan apa yang berguna di ruangan ini, dengan harapan ruangan ini dapat memberi peluang kepada aku dan rakan-rakan lain berkongsi maklumat mengenai masyarakat dan bahasa. Ucapan terima kasih dan setinggi penghargaan diucapkan kepada pensyarah sosiolinguistik kami iaitu Dr. Siti Saniah yang sedikit sebanyak telah memberi panduan dan galakkan kepada kami untuk menghasilkan blog ini sekaligus menjayakan tugasan yang diberi. Kepada ketua kelas kami, iaitu Cikgu Fawiz, terima kasih juga kerana telah memberi tunjuk ajar kepada kami cara-cara untuk menghasilkan sebuah blog. Harapan saya, agar tugasan dan amanah yang diberi oleh pensyarah dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sebarang kritikan dan komen, insyaAllah sama-samalah kita terima dengan terbuka justeru dapat memperbaiki apa yang kurang mengenai coretan berbentuk ilmiah dalam blog KHAS ini. Sekian.