JellyPages.com

Rabu, 19 Januari 2011

"Bila Lidah Berbicara"

Hendak memulakan bicara atau mengeluarkan kalimah dari mulut harus memikirkan juga keadaan sekeliling. Adakalanya tutur kata kita mengguris hati sesetengah pihak. Bagi situasi yang cuba aku ungkapkan kali ini adalah situasi bahasa yang sebenarnya boleh dianggap agak kasar. Sebenarnya, aku juga adakala berbahasa begitu namun, hanya kepada teman yang betul-betul rapat dengan aku. Situasinya adalah ketika aku beratur menunggu bas UPSI yang sangat bersopan santun di jalan raya sehinggakan pelajar-pelajar terpaksa beratur panjang untuk menaiki bas ke kampus. 


Situasi 2:
Wanita 1: Oit, sorang je ke?Mane lagi sekor?(sambil berjalan menuju ke barisan menunggu bas)
Wanita 2: Sekor lagi tak de kelas hari ni. (sambil mengekori rakannya dari belakang)

Ceriteranya:
Bahasa yang kurang sopan digunakan sebagai ganti nama kepada seseorang jika dilihat dari aspek bahasa yang sebenar. Tetapi, rasanya bagi sesetengah golongan masyarakat seperti mereka, tidak menjadi halangan dan kesalahan untuk menggunakan bahasa sebegitu bersama rakan-rakan sebaya atau teman rapat. Walau bagaimanapun, bahasa yang digunakan ini tidak sesuai kiranya kita berbicara atau menggunakan kata ganti nama terhadap orang yang lebih tua atau orang yang kita baru kenal. Mungkin akan menyentuh sensitiviti sesetengah pihak. Apa yang dapat aku simpulkan di sini ialah penggunaan bahasa sedemikian sebenarnya timbul juga dalam kalangan masyarakat hari ini namun, hanya terhadap golongan tertentu. Walaupun kata 'sekor' itu pada kebiasaannya digunakan sebagai kata ganti nama binatang, namun adakala ia diabaikan tatkala bahasa tersebut dianggap sebagai satu gurauan. Apa pula komen anda berkenaan penggunaan kata ganti nama sedemikian? Adakah anda merasakan bahawa penggunaan bahasa tersebut terlalu biadap untuk digelarkan kepada seseorang? Sebenarnya, ia terpulang kepada pendapat individu yang menilai situasi bahasa yang digunakan terhadap mereka.

1 ulasan: