JellyPages.com

Selasa, 8 Mac 2011

Hewan atau haiwan

Situasi 22
Aku bersama teman sebilikku mejalankan rutin harian, membuat tugasan dan melayari internet. Seperti biasa rakan bilik aku gemar menyanyi dan mendengar lagu dan sama juga seperti aku. Tiba-tiba pula aku mengeluarkan logat Kedahku ketika menegurnya yang sedang enak membuai alunan suaranya dengan lagu Yuna,  berjudul Gadis Semasa.

Aku     : Weh, asyik hewan ja kau ni.
Rakan : Ha? Apa kau cakap? Haiwan? Apa benda yang haiwannya?
Aku     : Hehehe..Hewan lah! Bukan haiwan.
Rakan : Apa tu?
Aku     : Ha..mai sini aku nak habaq...haiwan tu binatang..yang aku cakap tadi hewan bermaksud berhibur atau bernyanyi. Macam engkau la, asyik menyanyi ja.
Rakan : Oooo...eleh..cakap orang. Dia pun sama.

Ceriteranya:
Dialek Kedah yang aku gunakan telah mengundang kekeliruan kepada rakan aku. Perbezaan dialek ini sebenarnya kadagkala menyekat penyampaian mesej antara penutur dan pendengar. Dari situ, wujudnya kekeliruan dan mesej yang disampaikan lambat diterima oleh penerima.  Oleh itu, penggunaan dialek ini mungkin boleh diterima oleh sesetengah masyarakat bergantung kepada maksud perkataan yang digunakan. Hal ini kerana, bagi sesetengah dialek, maksud perkataan bagi dialek yang digunakan di negeri lain mungkin membawa maksud lain yang negatif.

" Faham ke tidak?"

Situasi 21
Anak buah aku yang berusia dalam lingkungan 2 tahun lebih bertutur dengan bahasanya sendiri:


na na na...
ma ma ma...
hishhh!!
ndak..aa..



Ceriteranya
Anda faham atau tidak, itulah yang seringkali keluar daripada mulut kanak-kanak yang menggunakan pemerolehan bahasa pertamanya untuk berkomunikasi dengan persekitarannya. Telatah comel kanak-kanak ini seringkali mencuit hati mereka yang melihat. Tutur bicara yang mungkin langsung tidak kita fahami itu sebenarnya merupakan bahasa yang mereka gunakan untuk meluahkan sesuatu. Mungkin untuk menyatakan 'tidak', 'mahu', dan mungkin mereka sedang memperkatakan tentang sesuatu. Sesungguhnya, segala ujaran yang keluar daripada mulut si kecil itu adalah pemerolehan bahasa pertama yang mereka peroleh daripada orang dewasa di sekeliling mereka khasnya ibu dan bapa mereka. Dengan itu, mereka membesar dengan bahasa tersebut sehinggalah mereka benar-benar mampu untuk menyebut tentang sesuatu dalam bahasa yang betul dan boleh difahami oleh kita.

"Banyaknya ragam bahasa"

Situasi 20
Semalam, aku bersama seorang rakan pergi ke pekan. Kami menaiki bas kitaran UPSI yang sedia ada di hadapan kampus. Walau bagaimanapun, kami terpaksa menahan bas tersebut memandangkan bas tersebut sudah pun bergerak. Kami bernasib baik kerana bas itu baru bergerak dan kami sempat menahan bas tersebut. Rakanku melambai ke arah bas tersebut menandakan kami ingin menaiki bas tersebut. Bahasa badan sebegitu sememangnya sudah biasa digunakan dan sebati dengan masyarakat. Umpamanya ketika kita ingin menahan teksi dan bas, kita akan menggunakan gerak tangan untuk menyuruhnya berhenti menandakan kita mahu menaiki kenderaan tersebut. Satu lagi situasi bahasa badan ialah gerak tangan orang kurang bisu untuk berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling. Hal ini kerana, ketika kami sedang berjalan menuju ke restoran Pizza Hut di seberang jalan, aku terpandang seorang wanita yang sedang memandu berkomunikasi dengan penumpang di sebelahnya dengan menggunakan bahasa isyarat. Pada tanggapan aku, wanita tersebut adalah bisu dan dia mampu berkomunikasi degan menggunakan bahasa isyarat meskipun sedang memandu.


Ceriteranya:
Berbagai ragam bahasa yang boleh kita gunakan untuk berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling. Jelasnya, kita tahu bahawa wujudnya pelbagai ragam bahasa sebegini maka interaksi kita menjadi tidak terbatas. Justeru, penggunaan bahasa isyarat yang wujud dalam pelbagai ragam masyarakat ini merupakan situasi bahasa yang wajar digunakan sebagai alat perhubungan sosial yang tidak membataskan hanya kepada pertuturan semata-mata.

" Bolehkah begitu?"

Apabila berbual dengan rakan yang bukan seagama dengan kita kadangkala kita juga terikut dengan rentak tutur bicara mereka. Misalnya apabila kita berbicara dengan kaum india atau cina kadangkala tanpa disedari kita terus mengikut rentak mereka tatkala mereka berbahasa Melayu. Situasinya, aku teringat akan perbualan ibu aku bersama seorang jiran kami yang berketurunan India:

Situasi 19
Penutur 1: Apa macam dia bikin itu macam?
Penutur 2: Saya pun tada tau la apa macam punya ini orang.
Penutur 1: Ini macam punya orang kalu,tada boleh tengok orang senang.Ada betoi ka?
Penutur 2: Betul betul. Bikin orang lain susah saja.

Ceriteranya:

Sedar atau tidak, itulah hakikat yang berlaku dalam situasi perbualan kita seharian. Keadaan ini berlaku mungkin kerana kita sebagai penutur asli bahasa Melayu ingin memudahkan komunikasi bersama kaum lain yang cuba berbahasa Melayu meskipun bahasa yang dituturkan bukanlah bahasa Melayu baku. Pada kebiasaannya, kita bertutur untuk terus kepada matlamat utamanya iaitu mesej yang ingin disampaikan dan diterima adalah jelas oleh kedua-dua belah pihak. Justeru, penggunaan bahasa Melayu mudah digunakan untuk menyelaraskan dengan penutur dan penerima. Dengan itu, kaum selain bukan Melayu akan merasakan bahawa mudah untuk mereka bertutur dalam bahasa Melayu meskipun bahasa yang digunakan melanggar hukum tatabahasa. Hal ini kerana, bahasa tersebut masih dianggap bahasa Melayu. Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu sedemikian sebenarnya boleh dianggap relevan dengan kaum lain yang tidak fasih berbahasa Melayu kerana ia bebas digunakan oleh seluruh anggota masyarakat tidak mengira kaum dan keturunan. 



"Mak selalu kata..."

Situasi 18
Situasinya aku mengimbau kembali kata-kata ibu aku yang gemar menggunakan kata-kata yang menunjukkan sesuatu yang berlebih-lebihan. Dahulunya seringkali menimbulkan tanda tanya dalam benak fikirku. Mak aku selalu mengungkapkan perkataan seperti:



manis melecas
masin pekak
pait bedengung
putih melepak
hitam legam
besaq gedabak
cantik bukan main




Ceriteranya:
Beberapa perkataan tersebut biasanya digunakan oleh penutur dari daerah utara. Namun, aku sendiri tertanya-tanya bagaimana perkataan tersebut diselitkan dalam mengungkapkan kebanyakan kata sifat/ adjektif seperti manis, pahit, masin, hitam, putih, cantik dan cantik. Alkisahnya, pada kebiasaannya, ungkapan tersebut timbul apabila sesorang itu merasakan bahawa keadaan tersebut adalah 'paling' iaitu sesuatu perkara berlaku lebih daripada kebiasaannya. Maksudnya di sini, manis melecas itu melambangkan makanan yang terlalu manis dan bukannya manis yang sedikit. Jika masin, ia bukanlah masin seperti biasa malah terlalu masin dan dari situlah maka timbulnya perkataan 'masin pekak' yang melambangkan rasanya terlalu atau sangat masin sehingga mungkin tidak boleh diterima oleh seseorang untuk merasai keadaan itu. Kebiasaannya 'manis melecas' dan 'masin pekak' ini digunakan untuk mengungkapkan makanan. Jadinya, makanan tersebut tidak boleh dimakan kerana terlalu masin ataupun manis. Kesimpulannya, perkataan-perkataan yang mengikuti kata adjektif yang diungkapkan dia atas adalah untuk menunjukkan sesuatu keadaan atau situasi yang melampau dan berlebihan.

"Pengaruhkah?"

Kebiasaannya kita akan mudah terpengaruh dengan sesuatu perkara apabila kita memang sentiasa berada dalam situasi lain daripada kebiasaan kita. Salah satunya, pengaruh perbualan dan ujaran yang keluar daripada mulut kita. Hari-hari yang aku lalui bersama beberapa orang rakan daripada Johor kadangkala membuatkan aku turut terpengaruh dengan dialek yang mereka gunakan. Apabila difikirkan semula, terdapat satu situasi bahasa yang sangat menarik perhatianku. Perkataan yang huruf akhirnya ditukarkan daripada abjad 'ar' kepada abjad 'o'.

Situasi 17
Perbualan seharian yang menggunakan beberapa perkataan yang pada akhir perkataan tersebut mempunyai abjad 'ar' ditukarkan kepada abjad 'o'.
Misalnya:
tukar      -  tuko
bakar     -  bako
ajar        -  ajo
gambar   -  gambo
gebar     -  gebo

Ceriteranya:
Kebanyakan perkataan yang tersenarai di atas merupakan perkataan yang sering digunakan oleh rakan-rakan aku yang berasal daripada Johor. Namun, perkataan tersebut sebenarnya tidak mengganggu mesej yang ingin disampaikan ketika proses komunikasi berlaku. Hal ini kerana, jika dibandingkan dengan dialek Kedah iaitu dialek yang aku gunakan ianya disebut dengan menggantikan perkataan 'aq' menjadi tukaq, bakaq, ajaq dan sebagainya. Jelasnya, abjad pada hujung perkataan yang ditukarkan daripada bahasa bakunya tidaklah menjejaskan maksud yang ingin disampaikan oleh si penutur asalkan si penerima masih boleh mengagak dan cuba meneka maksud perkataan yang diujarkan berikutan perkataan yang digunakan adalah hampir sama dengan ejaan dan sebutan asalnya.

Isnin, 7 Mac 2011

"Assalamualaikum Cikgu"

Jumaat lepas, aku bersama seorang lagi rakan telah menjalankan sesi pengajaran di sekolah atas tuntutan kursus universiti. Kami menjalankan pengajaran makroteaching tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan Semenchu, Johor. Pengalaman bergelar seorang guru sebenarnya mengajar aku untuk membina keyakinan diri apabila berhadapan dengan pelbagai situasi di sekolah. Matlamat utamanya ialah aku harus menggalas satu tanggungjawab besar dalam mendidik dan mengajar anak bangsa. Sesungguhnya, cikgu merupakan tiang tempat mereka berpaut untuk menempa kejayaan dan menjadi pendorong untuk mereka berjaya. Aku berani mengatakan sedemikian kerana aku juga seorang pelajar satu ketika dahulu dan masih lagi bergelar pelajar sehingga ke hari ini. Situasinya:


Situasi 16
Latar tempat:  Perkarangan tapak perhimpunan Sekolah Menengah Kebangsaan Semenchu
Latar masa:    Sewaktu perhimpuan harian bermula.
Jam:               8.00 pagi.

Pelajar:  Assalammualaikum cikgu!
Kemudiannya diikuti oleh beberapa orang pelajar lain turut memberikan salam.
Aku:     Waalaikummussalam. ( Dengan senyuman terukir )

Ceriteranya:
Sesekali rasa berbangga dengan gelaran tersebut dan diberi perhatian sedemikian rupa. Dengan lagak gaya dan penampilan seperti seorang guru maka, mana mungkin pelajar tidak mengenali bahawa aku adalah seorang guru meskipun aku baru sahaja berada di situ. Sebagai seorang guru, maka aku disapa sedemikian. Sama juga situasinya jika aku adalah seorang pegawai di salah sebuah syarikat swasta maka, mungkin orang akan mengucapkan Assalammualaikum Cik atau selamat pagi Cik. Bezanya hanyalah pada gelaran dan jawatan yang kita ada pada ketika masyarakat mengenali kita. Ia tetap merupakan satu situasi yang dapat mengungkapkan bahasa sekaligus menjadi wahana pengucapan yang menjadi simbol komunikasi antara dua atau lebih daripada satu pihak. Sapaan pelajar tersebut menunjukkan kepekaan masyarakat terhadap bahasa yang boleh digunakan sebagai pemudah cara untuk mewujudkan hubungan sosial yang wajar. Jelasnya, dapat aku simpulkan di sini bahawa komunikasi dua hala boleh berlaku dalam apa juga situasi dan cara meskipun hanya satu atau dua ungkapan perkataan.