JellyPages.com

Jumaat, 14 Jun 2013

Berdoalah..jangan berhenti berdoa!

Setelah sekian lama berdoa, kadangkala hati terasa letih menanti sesuatu yang diharapkan tidak juga kunjung tiba. Kealpaan terhadap rasa nikmat dan syukur kepada Sang Pencipta kian menerpa dek kerana terlalu mengharap pengabulan doa serta hajat yang diinginkan. Sungguh, manusia itu mudah terbuai dengan keasyikan dan keindahan dunia. Halnya seperti ingin bermimpi berada di awangan senantiasa.
Janganlah merasa letih dahulu. Berdoalah! Berdoalah kerana Allah. Bukan berdoa semata-mata menginginkan hajat tercapai. Berdoalah sewajarnya. Allah sentiasa mendengar. Pasti Dia takkan pernah menghampakan. Semakin kita berdoa, semakin kita dekat dengan Nya dan sesungguhnya Dia juga lebih dekat dengan kita kiranya kita sentiasa berdoa kepada Nya.
Sesekali tersungkur jatuh, terasa berat untuk bangun. Jika berdiri pula, sesekali terasa seperti mahu terjatuh menyembah bumi semula. Ingatlah, Allah masih ada. Berbahagialah selagi masih bernyawa. Berbahagialah dengan nikmat itu. Manfaatkan dengan sebaiknya. Jatuh tersungkur bukan kerana lemah, tapi kerana kurangnya iman di dada. Mungkin kerana kita ingin diuji. Fitrah manusia sentiasa menginginkan sesuatu yang baik dan lebih baik untuk diri. Jika inginkan yang terbaik, baliklah pada jalan Allah. Sungguh, Allah pasti tidak akan mengecewakan hamba Nya.

Jika semalam terpercik titis noda,
Hari ini baliklah semula pada Nya,
Jika hari ini tersungkur di jalan luka,
Hari ini abdikanlah dirimu pada Nya.

Setangkai doa pengikat jiwa,
Buat hamba penghuni syurga,
Jika ingin selamat di dunia,
Ilmu akhirat  janganlah dialpa,
Kerana dia Pencipa segala.

Sungguh iman penyelamat hamba,
Sungguh Allah empunya semesta,
Andai gugur iman di dada,
Celaka insan  kerana ternoda,
Diikut nafsu syaitan binasa.
 


Jumaat
13 Jun 2013


Selasa, 11 Disember 2012

Cantik bermula dari hati dan terpancar di wajah


Cantik itu subjektif,
Cantik itu abstrak,
Cantik itu hanyalah senipis kulit.
Cantik adalah anugerah,
Tidak bisa diubah,
Kerana yang memberi ialah Allah.
Permulaan cantik dari hati,
Bisa terpancar di wajah nan suci,
Sesiapa jua akan menyenangi.

Fitrah manusia inginkan kecantikan. Fitrah manusia inginkan sesuatu yang bisa menyenangkan. Tetapi, cantik dan menyenangkan adalah sesuatu yang abstrak untuk ditafsirkan oleh setiap individu. Terlalu subjektif untuk dinilaikan kerana setiap individu mempunyai penilaian yang berbeza.
Kadangkala kita melihat insan yang biasa-biasa sahaja orangnya, tapi apabila memandang wajahnya, rasa seperti tidak mahu berpaling lagi. Rasa tidak puas memandang. Kadangkala, kita melihat ada insan lain yang lebih 'ada rupa' dan cantik wajahnya, tapi lama-kelamaan rasa jemu memandang atau mungkin rasa seperti tiada daya tarikan (mungkin sebab hari-hari tengok wajah yang sama kot. heheh ).
Ada pula wajah-wajah yang tidak langsung mengenakan sebarang 'make up' namun tetapi cantik dan manis dipandang (khas untuk wanita). Barangkali, inilah yang dikatakan kecantikan hatinya terpancar di wajah.
Tidak perlu mengenakan 'make up' berinci tebal pun tetap cantik dipandang.
Cantik rupa dan cantik budi adalah pakej. Bayangkan jika kecantikan yang senipis kulit itu tiba-tiba hilang. Wajah melecur dan terbakar serta wajah menjadi cacat, maka kecantikan budi akan dilihat seperti debu-debu yang mungkin tidak berguna kepada diri. Ada yang beranggapan begitu, namun mungkin ada saja yang bisa menerima kekurangan tersebut.( Mungkin hampir 1.0 % sahaja). Wallahu a'lam.
Semoga kita menjadi manusia yang sentiasa bersyukur dan cuba menjadikan kecantikan hati sebagai hal  utama yang ingin dikejar. Kecantikan wajah pastinya akan menyusul bersama kecantikan dan ketinggian budi. InsyaAllah.


Ahad, 9 Disember 2012

Luruskan Pendirian

Tidak tetap pendirian adalah satu hal yang seringkali dilihat sebagai peribadi yang kurang elok untuk diamalkan. Pendirian bermaksud pegangan yakni berpegang teguh kepada sesuatu. Tapi bukan berpegang teguh tangan 'boyfriend' dan 'girlfriend' ya. Kalau dijadikan contoh berpegang teguh terhadap 10 orang 'girlfriend' or 'boyfriend', agaknya mesti ramai yang dilanda kekusutan. Diibaratkan seperti itulah makanya, berpendirian itu penting dalam kehidupan. Sungguh, kalau kita tidak mempunyai pendirian untuk dijadikan landasan hidup, pincanglah kehidupan. Sebagai orang Islam khususnya, berpegang teguh kepada agama Islam adalah jalan paling selamat. Selamat dalam membuat keputusan dan selamat dalam mengharungi kehidupan..insyaAllah. Sesungguhnya, seringkali kita merasa susah untuk membuat keputusan yang kadangkala bekaitan dengan pendirian kita. Tapi, cuba renungkan kembali sama ada pendirian itu berlandaskan al-Quran dan Sunnah atau tidak. Paling tidak, kita tahu bahawa Islam itu mengajar kesederhanaan. Makanya, kalau anda mempunyai pendirian sekalipun, timbangkan sekali lagi mengenai pedirian anda itu mengikut ajaran Islam atau tidak. Contoh, kalau pendirian anda mengatakan bahawa anda tidak akan menerima jodoh yang diaturkan oleh keluarga. Anda ingin mencari cinta sejati anda dengan cara anda sendiri. Walau apa pun jadi, hanya setelah anda menemui cinta baru anda akan menerima sebagai jodoh anda. Itu pun pendirian juga. Tapi, fikir-fikirkanlah sama ada pendirian itu berdiri dengan panduan agama dan membawa keredhaan Allah atau tidak. Wallahu a'lam
Hadith: 
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Tidak lurus (istiqomah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya.
Huraian Hadith: 
1. Maksud istiqomah ialah tetap teguh di atas jalan yang betul lurus yang membawa keredhaan Allah S.W.T.
2. Dasar istiqomah adalah istiqomah hati iaitu lurusnya hati di atas tauhid. Apabila hati telah beristiqomah kepada Allah dalam erti kata takut, cinta, tawakkal dan mengagungkan Allah maka seluruh anggota tubuh akan taat kepadanya. Ini ialah kerana hati adalah raja kepada badan manakala anggota badan adalah rakyatnya.
3. Anggota terpenting selepas hati yang mesti diberi perhatian serius agar beristiqomah ialah lidah kerana lidah adalah terjemahan hati yang menggambarkan pemikiran seseorang.
sumber hadith: 
portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
*Saya juga hamba Allah yang jahil, sekadar berkongsi hati yang ingin berbicara.
Tukar nama blog bukan bermaksud saya tidak tetap pendirian ya. hehe . Hope this is the last one . Asyik cari nama yang sesuai tak jumpa-jumpa dan tak kena ngn jiwa. hehe

Rabu, 5 Disember 2012

Harapan Terpapah

Harapan demi harapan,
Impian demi impian,
Seringkali menjengah,
Tapi tak pernah singgah.

Jernihnya muara,
Tak sejernih masa yang meronta,
Mencari segugus harapan dan impian,
yang seringkali lelah di ufuk.

Pudarnya tidak,
Layunya juga tidak,
Barangkali rebah,
Tapi seringkali masih terpapah.

Noordiana Ishak
12.29 am / Dis 2012
SEGI Subang Jaya


Harapan dan impian yang didusta tidak semestinya adalah penghujung nikmat. Pastikan rebah anda terpapah dengan IMAN dan TAQWA. InsyaAllah kita masih menguasai segala-gala yang bakal hadir di hadapan kelak. Pilihan kita hanyalah kehidupan, kerana kematian bukan lagi pilihan, tetapi adalah kepastian. Selagi masih ada pilihan di tangan, pilihlah yang terbaik.

Sabtu, 1 Disember 2012

Nikmat Terbesar dalam Hidup

Lembut dan indah sungguh tutur kata nasihat daripada sedutan ceramah Buya Hamka (Halaqah TV9) sekaligus mencetuskan ilham untukku mengungkapkan hal yang terpendam di lubuk hati. Pertama kali mendengar nasihat daripada suara tokoh tersohor ini, sungguh kagum dengan tutur kata yang lembut dan indah bahasa yang digunakan. Tersusun rapi setiap patah kata yang ingin disampaikan. Kata-kata dan nasihat yang disampaikan sungguh melekat di hati ini. Sesiapa yang mendengar insyaAllah bisa sampai ke pangkal hati. Sungguh, kerana fitrah manusia itu dambakan kelembutan yang bisa menenangkan jiwa. Tapi, jangan pula kita hanya sentiasa mengharapkan sesuatu yang baik berlaku dalam hidup kita tatkala kita pula tidak pernah berlaku baik kepada makhluk Allah yang lain. Malah kita sendiri yang menzalimi diri kita. Manusia itu diazab dengan kegelisahan hati tatkala dia tidak pernah mensyukuri nikmat yang ada kerana terlalu mengharap nikmat yang tiada. Nikmat terbesar ialah nikmat iman dan kesihatan. Kita sebagai manusia seharusnya memandang nikmat bukanlah dari sudut harta dan kebahagiaan dunia semata-mata. Malah, manusia yang miskin ialah manusia yang tidak pernah merasa cukup dalam kehidupannya. Itulah kata-kata dan cebisan nasihat daripada Hamka yang perlu kita pegang dan jadikan pedoman hidup. InsyaAllah bahagia hidup.



Jumaat, 2 November 2012

Hati-hati dalam pergaulan

Pergaulan harus ada batasan.
Nak tau kenapa?
1. Bergaul dengan orang kaya, akan bertambah kecintaan kepada harta
2. Bergaul dengan orang miskin, akan bertambah sifat redha
3. Bergaul dengan para penguasa, akan bertambah sifat takabur
4. Bergaul dengan wanita (bukan mahram), akan bertambah syahwat
5. Bergaul dengan budak-budak, akan cinta kepada permainan
6. Bergaul dengan orang fasik, bertambah keberanian berbuat maksiat dan melambatkan taubat
7. Bergaul dengan orang soleh, bertambah keseronokan untuk beramal
 

8. Bergaul dengan ulama, bertambah ilmu dan semangat untuk mengamalkan agama
  (Imam Abu Laits as-Samarqandi)
Sesungguhnya, kita diberi banyak pilihan dalam hidup. Tapi kita tidak diberi pilihan untuk terus hidup di bumi yang fana ini. Justeru, pergaulan juga sedikit sebanyak akan mempengaruhi siapa diri kita. Pergaulan yang ditunjangi dengan agama dan keredhaan Allah adalah penting untuk bekalan di hari muka. Wallahu a'lam

Selasa, 30 Oktober 2012

Mencari hati

Ketahuilah bahawa di dalam dada manusia ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya, apabila ia rosak, rosaklah seluruhnya. Ketahuilah seketul daging itu adalah hati. [HR Bukhari dan Muslim]

Sekeping hati ibarat enjin yang menghidupkan tenaga dan tindakan manusia. Dari hati bermula beribu perasaan. Perasaan marah, sedih, suka, duka, hasad, dengki dan sebagainya. Bermula dari hatilah kita mendidik sama ada ingin menjadi baik atau sebaliknya. Alhamdulillah apabila Allah yang detikkan hati kita untuk berubah. Setiap kali kita tersilap langkah, Allah yang detikkan hati kita untuk kita agar sentiasa berfikir sama ada betul atau salah tindakan itu. Terkadang mungkin tersasar juga kerana menurutkan kehendak nafsu. Amatlah rugi kiranya itu yang terjadi. Tapi rasanya lebih rugi kalau kita lambat tersedar, dan lebih malang kiranya langsung kita tidak pernah tersedar. Jaga hati, perbaiki diri. Hidayah itu perlu dicari, bukan ditunggu seperti bulan jatuh ke riba.
Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.
(Surah ar-Rad: ayat 11).

Sungguh, susah untuk memelihara hati sendiri daripada hati manusia lain.
Jaga hati kita daripada siapa, apa dan untuk apa?
Jaga hati daripada tersesat mengikut nafsu, jaga hati daripada binasa kerana rasa, jaga hati daripada dunia yang penuh tipu daya. Hati mula rosak bila manusia pandai menipu kerana penipuan itu adalah punca segala yang salah.
Makanya, pernah dengar tak kalau nak cari hati kita, carilah di tiga tempat;
1. Ketika kamu mendirikan solat.
2. Ketika kamu membaca al-Quran.
3. Ketika kamu mengingati kematian kamu.

Wallahua'lam