JellyPages.com

Jumaat, 14 Jun 2013

Berdoalah..jangan berhenti berdoa!

Setelah sekian lama berdoa, kadangkala hati terasa letih menanti sesuatu yang diharapkan tidak juga kunjung tiba. Kealpaan terhadap rasa nikmat dan syukur kepada Sang Pencipta kian menerpa dek kerana terlalu mengharap pengabulan doa serta hajat yang diinginkan. Sungguh, manusia itu mudah terbuai dengan keasyikan dan keindahan dunia. Halnya seperti ingin bermimpi berada di awangan senantiasa.
Janganlah merasa letih dahulu. Berdoalah! Berdoalah kerana Allah. Bukan berdoa semata-mata menginginkan hajat tercapai. Berdoalah sewajarnya. Allah sentiasa mendengar. Pasti Dia takkan pernah menghampakan. Semakin kita berdoa, semakin kita dekat dengan Nya dan sesungguhnya Dia juga lebih dekat dengan kita kiranya kita sentiasa berdoa kepada Nya.
Sesekali tersungkur jatuh, terasa berat untuk bangun. Jika berdiri pula, sesekali terasa seperti mahu terjatuh menyembah bumi semula. Ingatlah, Allah masih ada. Berbahagialah selagi masih bernyawa. Berbahagialah dengan nikmat itu. Manfaatkan dengan sebaiknya. Jatuh tersungkur bukan kerana lemah, tapi kerana kurangnya iman di dada. Mungkin kerana kita ingin diuji. Fitrah manusia sentiasa menginginkan sesuatu yang baik dan lebih baik untuk diri. Jika inginkan yang terbaik, baliklah pada jalan Allah. Sungguh, Allah pasti tidak akan mengecewakan hamba Nya.

Jika semalam terpercik titis noda,
Hari ini baliklah semula pada Nya,
Jika hari ini tersungkur di jalan luka,
Hari ini abdikanlah dirimu pada Nya.

Setangkai doa pengikat jiwa,
Buat hamba penghuni syurga,
Jika ingin selamat di dunia,
Ilmu akhirat  janganlah dialpa,
Kerana dia Pencipa segala.

Sungguh iman penyelamat hamba,
Sungguh Allah empunya semesta,
Andai gugur iman di dada,
Celaka insan  kerana ternoda,
Diikut nafsu syaitan binasa.
 


Jumaat
13 Jun 2013


Selasa, 11 Disember 2012

Cantik bermula dari hati dan terpancar di wajah


Cantik itu subjektif,
Cantik itu abstrak,
Cantik itu hanyalah senipis kulit.
Cantik adalah anugerah,
Tidak bisa diubah,
Kerana yang memberi ialah Allah.
Permulaan cantik dari hati,
Bisa terpancar di wajah nan suci,
Sesiapa jua akan menyenangi.

Fitrah manusia inginkan kecantikan. Fitrah manusia inginkan sesuatu yang bisa menyenangkan. Tetapi, cantik dan menyenangkan adalah sesuatu yang abstrak untuk ditafsirkan oleh setiap individu. Terlalu subjektif untuk dinilaikan kerana setiap individu mempunyai penilaian yang berbeza.
Kadangkala kita melihat insan yang biasa-biasa sahaja orangnya, tapi apabila memandang wajahnya, rasa seperti tidak mahu berpaling lagi. Rasa tidak puas memandang. Kadangkala, kita melihat ada insan lain yang lebih 'ada rupa' dan cantik wajahnya, tapi lama-kelamaan rasa jemu memandang atau mungkin rasa seperti tiada daya tarikan (mungkin sebab hari-hari tengok wajah yang sama kot. heheh ).
Ada pula wajah-wajah yang tidak langsung mengenakan sebarang 'make up' namun tetapi cantik dan manis dipandang (khas untuk wanita). Barangkali, inilah yang dikatakan kecantikan hatinya terpancar di wajah.
Tidak perlu mengenakan 'make up' berinci tebal pun tetap cantik dipandang.
Cantik rupa dan cantik budi adalah pakej. Bayangkan jika kecantikan yang senipis kulit itu tiba-tiba hilang. Wajah melecur dan terbakar serta wajah menjadi cacat, maka kecantikan budi akan dilihat seperti debu-debu yang mungkin tidak berguna kepada diri. Ada yang beranggapan begitu, namun mungkin ada saja yang bisa menerima kekurangan tersebut.( Mungkin hampir 1.0 % sahaja). Wallahu a'lam.
Semoga kita menjadi manusia yang sentiasa bersyukur dan cuba menjadikan kecantikan hati sebagai hal  utama yang ingin dikejar. Kecantikan wajah pastinya akan menyusul bersama kecantikan dan ketinggian budi. InsyaAllah.


Ahad, 9 Disember 2012

Luruskan Pendirian

Tidak tetap pendirian adalah satu hal yang seringkali dilihat sebagai peribadi yang kurang elok untuk diamalkan. Pendirian bermaksud pegangan yakni berpegang teguh kepada sesuatu. Tapi bukan berpegang teguh tangan 'boyfriend' dan 'girlfriend' ya. Kalau dijadikan contoh berpegang teguh terhadap 10 orang 'girlfriend' or 'boyfriend', agaknya mesti ramai yang dilanda kekusutan. Diibaratkan seperti itulah makanya, berpendirian itu penting dalam kehidupan. Sungguh, kalau kita tidak mempunyai pendirian untuk dijadikan landasan hidup, pincanglah kehidupan. Sebagai orang Islam khususnya, berpegang teguh kepada agama Islam adalah jalan paling selamat. Selamat dalam membuat keputusan dan selamat dalam mengharungi kehidupan..insyaAllah. Sesungguhnya, seringkali kita merasa susah untuk membuat keputusan yang kadangkala bekaitan dengan pendirian kita. Tapi, cuba renungkan kembali sama ada pendirian itu berlandaskan al-Quran dan Sunnah atau tidak. Paling tidak, kita tahu bahawa Islam itu mengajar kesederhanaan. Makanya, kalau anda mempunyai pendirian sekalipun, timbangkan sekali lagi mengenai pedirian anda itu mengikut ajaran Islam atau tidak. Contoh, kalau pendirian anda mengatakan bahawa anda tidak akan menerima jodoh yang diaturkan oleh keluarga. Anda ingin mencari cinta sejati anda dengan cara anda sendiri. Walau apa pun jadi, hanya setelah anda menemui cinta baru anda akan menerima sebagai jodoh anda. Itu pun pendirian juga. Tapi, fikir-fikirkanlah sama ada pendirian itu berdiri dengan panduan agama dan membawa keredhaan Allah atau tidak. Wallahu a'lam
Hadith: 
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Tidak lurus (istiqomah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya.
Huraian Hadith: 
1. Maksud istiqomah ialah tetap teguh di atas jalan yang betul lurus yang membawa keredhaan Allah S.W.T.
2. Dasar istiqomah adalah istiqomah hati iaitu lurusnya hati di atas tauhid. Apabila hati telah beristiqomah kepada Allah dalam erti kata takut, cinta, tawakkal dan mengagungkan Allah maka seluruh anggota tubuh akan taat kepadanya. Ini ialah kerana hati adalah raja kepada badan manakala anggota badan adalah rakyatnya.
3. Anggota terpenting selepas hati yang mesti diberi perhatian serius agar beristiqomah ialah lidah kerana lidah adalah terjemahan hati yang menggambarkan pemikiran seseorang.
sumber hadith: 
portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
*Saya juga hamba Allah yang jahil, sekadar berkongsi hati yang ingin berbicara.
Tukar nama blog bukan bermaksud saya tidak tetap pendirian ya. hehe . Hope this is the last one . Asyik cari nama yang sesuai tak jumpa-jumpa dan tak kena ngn jiwa. hehe

Rabu, 5 Disember 2012

Harapan Terpapah

Harapan demi harapan,
Impian demi impian,
Seringkali menjengah,
Tapi tak pernah singgah.

Jernihnya muara,
Tak sejernih masa yang meronta,
Mencari segugus harapan dan impian,
yang seringkali lelah di ufuk.

Pudarnya tidak,
Layunya juga tidak,
Barangkali rebah,
Tapi seringkali masih terpapah.

Noordiana Ishak
12.29 am / Dis 2012
SEGI Subang Jaya


Harapan dan impian yang didusta tidak semestinya adalah penghujung nikmat. Pastikan rebah anda terpapah dengan IMAN dan TAQWA. InsyaAllah kita masih menguasai segala-gala yang bakal hadir di hadapan kelak. Pilihan kita hanyalah kehidupan, kerana kematian bukan lagi pilihan, tetapi adalah kepastian. Selagi masih ada pilihan di tangan, pilihlah yang terbaik.

Sabtu, 1 Disember 2012

Nikmat Terbesar dalam Hidup

Lembut dan indah sungguh tutur kata nasihat daripada sedutan ceramah Buya Hamka (Halaqah TV9) sekaligus mencetuskan ilham untukku mengungkapkan hal yang terpendam di lubuk hati. Pertama kali mendengar nasihat daripada suara tokoh tersohor ini, sungguh kagum dengan tutur kata yang lembut dan indah bahasa yang digunakan. Tersusun rapi setiap patah kata yang ingin disampaikan. Kata-kata dan nasihat yang disampaikan sungguh melekat di hati ini. Sesiapa yang mendengar insyaAllah bisa sampai ke pangkal hati. Sungguh, kerana fitrah manusia itu dambakan kelembutan yang bisa menenangkan jiwa. Tapi, jangan pula kita hanya sentiasa mengharapkan sesuatu yang baik berlaku dalam hidup kita tatkala kita pula tidak pernah berlaku baik kepada makhluk Allah yang lain. Malah kita sendiri yang menzalimi diri kita. Manusia itu diazab dengan kegelisahan hati tatkala dia tidak pernah mensyukuri nikmat yang ada kerana terlalu mengharap nikmat yang tiada. Nikmat terbesar ialah nikmat iman dan kesihatan. Kita sebagai manusia seharusnya memandang nikmat bukanlah dari sudut harta dan kebahagiaan dunia semata-mata. Malah, manusia yang miskin ialah manusia yang tidak pernah merasa cukup dalam kehidupannya. Itulah kata-kata dan cebisan nasihat daripada Hamka yang perlu kita pegang dan jadikan pedoman hidup. InsyaAllah bahagia hidup.



Jumaat, 2 November 2012

Hati-hati dalam pergaulan

Pergaulan harus ada batasan.
Nak tau kenapa?
1. Bergaul dengan orang kaya, akan bertambah kecintaan kepada harta
2. Bergaul dengan orang miskin, akan bertambah sifat redha
3. Bergaul dengan para penguasa, akan bertambah sifat takabur
4. Bergaul dengan wanita (bukan mahram), akan bertambah syahwat
5. Bergaul dengan budak-budak, akan cinta kepada permainan
6. Bergaul dengan orang fasik, bertambah keberanian berbuat maksiat dan melambatkan taubat
7. Bergaul dengan orang soleh, bertambah keseronokan untuk beramal
 

8. Bergaul dengan ulama, bertambah ilmu dan semangat untuk mengamalkan agama
  (Imam Abu Laits as-Samarqandi)
Sesungguhnya, kita diberi banyak pilihan dalam hidup. Tapi kita tidak diberi pilihan untuk terus hidup di bumi yang fana ini. Justeru, pergaulan juga sedikit sebanyak akan mempengaruhi siapa diri kita. Pergaulan yang ditunjangi dengan agama dan keredhaan Allah adalah penting untuk bekalan di hari muka. Wallahu a'lam

Selasa, 30 Oktober 2012

Mencari hati

Ketahuilah bahawa di dalam dada manusia ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya, apabila ia rosak, rosaklah seluruhnya. Ketahuilah seketul daging itu adalah hati. [HR Bukhari dan Muslim]

Sekeping hati ibarat enjin yang menghidupkan tenaga dan tindakan manusia. Dari hati bermula beribu perasaan. Perasaan marah, sedih, suka, duka, hasad, dengki dan sebagainya. Bermula dari hatilah kita mendidik sama ada ingin menjadi baik atau sebaliknya. Alhamdulillah apabila Allah yang detikkan hati kita untuk berubah. Setiap kali kita tersilap langkah, Allah yang detikkan hati kita untuk kita agar sentiasa berfikir sama ada betul atau salah tindakan itu. Terkadang mungkin tersasar juga kerana menurutkan kehendak nafsu. Amatlah rugi kiranya itu yang terjadi. Tapi rasanya lebih rugi kalau kita lambat tersedar, dan lebih malang kiranya langsung kita tidak pernah tersedar. Jaga hati, perbaiki diri. Hidayah itu perlu dicari, bukan ditunggu seperti bulan jatuh ke riba.
Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.
(Surah ar-Rad: ayat 11).

Sungguh, susah untuk memelihara hati sendiri daripada hati manusia lain.
Jaga hati kita daripada siapa, apa dan untuk apa?
Jaga hati daripada tersesat mengikut nafsu, jaga hati daripada binasa kerana rasa, jaga hati daripada dunia yang penuh tipu daya. Hati mula rosak bila manusia pandai menipu kerana penipuan itu adalah punca segala yang salah.
Makanya, pernah dengar tak kalau nak cari hati kita, carilah di tiga tempat;
1. Ketika kamu mendirikan solat.
2. Ketika kamu membaca al-Quran.
3. Ketika kamu mengingati kematian kamu.

Wallahua'lam

Isnin, 22 Oktober 2012

Adam dan Hawa

 














Adam itu. Kalau ada perempuan yang tidak balas salamnya, dikata sombong.
Adam itu. Kalau ada perempuan yang diam bila ditanya, dikata berlagak.
Adam itu. Kalau ada perempuan yang tidak senyum kepadanya, dikata poyo.
Adam itu. Kalau tidak ada perempuan yang membalas mesejnya, dikata kerek.

Adam. Perempuan bagaimana yang engkau mahu jadikan calon isteri?
Perempuan yang dengan senang hati memberi salam kepada semua lelakikah?
Perempuan yang banyak bicaranya dengan melunakkan suaranyakah?
Perempuan yang murah senyum dan tawanya untuk semua lelakikah?
Atau..
Perempuan yang sentiasa berkepit dengan telefon tidak hirau kiri kanan membalas mesejmu kah?
Ini kah calon mu wahai Adam?

Ketahui ini wahai Adam,
Sungguhnya, perempuan itu manja.
Suka dibelai. Suka dikasih.
Namun, Adam.
Tahu apa erti batas pergaulan?
Jangan sewenang-wenangnya kau panggil perempuan itu sombong, berlagak, poyo dan kerek.

Kerana,
Bahawa perempuan itu menjaga aib kamu.
Bahawa perempuan itu membantu kamu.
Menghindar dari dosa.
Menjauh dari kehinaan.
Kerana perempuan itu fitnah dunia.
Perempuan itu fitnah bagi kamu.

Adam,
Perempuan ini insan yang lemah.
Jangan kau cemar imannya.
Jangan kau rosakkan mujahadahnya.
Jangan kau kotori kasih dan cintanya pada Ilahi.
Kerana perempuan itu sedang berperang melawan nafsunya.
Kerana perempuan itu sedang sedaya upaya menahan dirinya.
Adam,
Andai kau kasih dan sayang pada perempuan.
Andai kau mahu membela nasib perempuan-perempuan di luar sana.
Andai kau mahu perempuan seperti itu menjadi suri dalam taman hati.
Ibu kepada bakal pejuang agama.
Doa buat mereka.
Doa buat dirimu.
Agar ada redha Allah dalam setiap amalanmu dan perempuan itu.

Kerana Adam adalah pembela Hawa ~
salin dan tampal dari page Jadikan Dia Jodohku yang Terbaik.

Wahai wanita....


Lelaki: I nak raba U sikit je sayang . . .
Wanita 1: Tak nak la . . . Kalau terlanjur macam mana ?
Lelaki: Kita kawen la . . . I jumpa ... ... parents U . . .
Wanita 1: Betul ? U nak kawen dengan I ?
Lelaki : Betul sayang . . . Sumpah . . . U diam je k . jangan cakap ape-ape. I pegang sikit-sikit je........
Setahun selepas itu . . .
Wanita 1: Sampai hati U . . . Tipu I . . . Dulu U kata nak kahwin dengan I . Tapi bila U dah dapat . U kawen dengan perempuan lain . . .
Lelaki: I lelaki , U ingat I nak kawen dengan perempuan yang senang-senang boleh dapat ? I nak perempuan yang suci . . . Bukan macam U , yang senang-senang bagi tubuh pada lelaki yang bukan bergelar suami . U ingat I ***** ke nak kawen dengan U ?
Wanita1: Sampai hati U cakap macam tu , dulu . . . Masa U nak . . . Macam-macam janji manis U bagi .Tapi sekarang U salahkan I ?
Lelaki: I lelaki . . . I cuma uji U je mase tu . . . Tapi U bagi . . . I ambil lah . . .
Wanita1: U memang jantan tak guna . . . I menyesal kenal dengan U !
Lelaki: U menyesal ? Tapi I puas . . . Jangan lupa datang kenduri I nanti .
Wanita1: U akan dapat balasannya nanti !
Lelaki tersebut kemudiannya mendapat jodoh wanita yang diimpikannya . . 
MALAM PERTAMA LELAKI DAN WANITA YANG BARU DINIKAHINYA 
Lelaki: Sayang . . . I love U so much . . .
Wanita 2: Me too sayang . . .
Lelaki: I bertuah kawen dengan U .
Wanita 2: I pun , sayang . . . I ada something nak bagi tahu U ni . . .
Lelaki: Apa dia sayang ?
Wanita 2: Sebenarnya . . . I pernah tidur dengan semua teman lelaki I . . . Untuk suka-suka je . . . Cari kepuasan sebelum kawen . . . Tapi bile nak kawen . . . I cari lelaki baik macam U untuk jadi suami . . . U tak kisahkan ?
 Lelaki: What ? ? ?! !
.................................................................................................................

Kalaulah ada 10 orang daripada 100 lelaki seperti ini dalam dunia, memang rosaklah wanita-wanita di atas muka bumi ini. Memanglah tidak boleh hendak meletakkan kesalahan kepada lelaki 100%. Betul ke tidak? Nanti melenting pulak kaum adam kalau asyik dituduh mereka saja yang bersalah. Perempuan pun salah juga. Pendek kata, masing-masing tidak boleh menyalahkan orang lain atas apa yang berlaku terhadap diri kita. Cuba berdiri di depan cermin, tanya diri sendiri sama ada patut kah hanya asyik nak salahkan orang lain atas apa yang berlaku terhadap diri kita.
Tapi.......
Bukankah kaum adam itu yang telah diamanahkan oleh Allah untuk menjadi khalifah di atas muka bumi ini? Dialah yang dimanahkan oleh Allah untuk mentadbir, mengatur dan memerintah . Tanggungjawabnya sungguh besar kerana merekalah yang diamankahkan oleh Allah untuk menjaga ahli keluarga mereka dari api neraka. 

“Lelaki ialah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki selepas menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.” [Surah an-Nisa, ayat 34]
Alhamdulillah, sebenarnya masih ada kaum adam yang masih memelihara maruah wanita sebagaimana mereka menjaga maruah keluarga mereka. Ada! Bukan langsung tiada. Malah ramai sekali.
Peringatan kepada kaum hawa pula, bangunlah! Sesungguhnya kamu bidadari.. keluarlah dari belenggu kehinaan, masuklah kembali ke jalan Allah yang diredhai.. Kuatkanlah diri, kentalkanlah keimanan,.. jangan sesekali terpedaya dengan bisikan umpama racun di dalam madu.. yakinlah sesungguhnya pilihan Allah untuk mu adalah suami mu.. jika bermasalah, carilah jalan penyelesaian tetapi bukan dengan mengharapkan lelaki yang belum halal bagimu yang konon mempunyai kehebatan. Pandai segala segi, tak kurang dengan ilmu agama, tapi belum tentu hal itu menjadi kekuatan imannya. Sudahnya, dikata kaum hawa yang menggoda.
Moga sinar hidayah kembali menaungi kehidupan kita semua.. tidak kira anda siapa.. yang penting, berusaha agar kita menjadi insan yang hebat imannya, penuh taqwa, penuh redha dan penuh keikhlasan dalam hati dengan nama Allah. Jangan mudah tertipu dengan tipu daya syaitan. Dari Dia kita datang dan dari Dia juga kita akan kembali.
~waallahua'lam~

Sabtu, 20 Oktober 2012

Untungnya Seorang Muslim

Allah menitipkan kelebihan di setiap kekurangan, menitipkan kekuatan di sebalik kelemahan, mengiringkan kegembiraan di setiap kesedihan, menitipkan harapan di sebalik keraguan, dan sesungguhnya Dia juga telah berjanji bahawa di setiap sesuatu yang berlaku, tidak mungkin akan tiba sebelum sampai waktu yang ditetapkan oleh Nya. Ibarat matahari tak mungkin terbit sebelum tiba waktu siang, ibarat bayi takkan lahir sebelum tiba waktu yang ditetapkan Nya dan ibarat mati takkan tersisa walau satu saat pun pabila malaikat maut datang menjemput.


Untungnya menjadi seorang muslim yang dihadiahkan 'tawakkal' sebagai tempat pergantungan. Untungnya manusia dihadiahkan kasih sayang yang berpanjangan di sisi Nya. Untungnya menjadi muslim yang beriman kepada yang ghaib kerana pahala itu bukan dalam bentuk wang ringgit, harta, emas dan pusaka. Ujian yang menimpa sekali sekala membuat manusia rebah dan bangun kembali dengan adanya Allah yang terus memberi nikmat. Meski tidak terhitung dosa yang dilakukan umat Nya, tetap jua dihadiahkan nikmat, rezeki dan kebahagiaan dalam hidup. Oleh itu, beruntung juga mereka yang ditimpa bala dan kesusahan meskipun berpanjangan kerana hal itu sebenarnya membuatkan hati kita lebih bertaut kepada Allah. Bayangkan pula jika kita tidak ditimpakan ujian oleh Allah, mungkin sekali pun kita tidak pernah akan sedar akan nikmat yang kita kecapi hanya untuk menguji kesedaran dan keimanan kita terhadap nikmat Nya. Wallahu a'lam

Jumaat, 19 Oktober 2012

Melalui Nya ku beri kemaafan kepadamu..

Ya  Allah, ketika aku telah melakukan kesalahan terhadap orang lain, anugerahkanlah aku kekuatan yang ikhlas untuk memohon kemaafan atas kesalahanku itu, manakala pada waktu orang lain melakukan kesalahan kepadaku, meski sebesar apa pun, maka anugerahkanlah aku kekuatan yang hebat untuk memberi kemaafan kepada mereka...aaammiinnn...insyaAllah..

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat  mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia  berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Tiada ubat paling mujarab merawat penyakit hati melainkan dengan berlapang dada, memberi kemaafan secara ikhlas maka akan mengembalikan ketenteraman, ketenangan serta menambahkan khusyuk ketika beribadat. Orang yang mudah memaafkan kesalahan orang lain, yakin dan percaya bahawa setiap keterlanjuran yang berlaku adalah ujian Allah yang menjadi takdir perlu dihadapi dan sekali-kali tidak akan terbelenggu dengan rasa marah berpanjangan. Sebagai makhluk yang lemah dan selalu membuat kesilapan, berdoalah kepada Allah swt supaya hati kita sentiasa dilembutkan serta dipermudahkan untuk menghulurkan kemaafan sekalipun kita berada di pihak yang benar.

Berdoalah selagi anda masih bernyawa, mohonlah selagi anda punya waktu dan ketika. 'Ular yang menyusur tidak akan pernah hilang bisanya' sama seperti orang yang mulia dan tinggi darjatnya, takkan pernah hilang kemuliaannya itu ketika dia memohon maaf meskipun dia di pihak yang benar. Kita tidak berhak menghukum kerana kita adalah sama, yakni makhluk Allah yang lemah. Sungguh, ada waktu dan ketika kita hilang kesabaran, namun janganlah terlalu terbawa-bawa dalam emosi sehingga selamanya kita menyimpan dendam kepada mereka yang kita anggap bersalah kepada kita. Mungkin esok atau lusa, mereka diberi kesedaran untuk kembali kepada yang hakiki dan berubah menjadi lebih baik daripada yang kita sangkakan. Kehendak Allah, tiada siapa yang tahu. Cuba untuk menjadi yang terbaik di sisi Allah, insyaAllah kita akan menjadi yang terbaik di sisi manusia. Bina hubungan yang baik dengan Allah insyaAllah kita akan punya hubungan yang baik dengan manusia. Membaca, menulis, mengaplikasikan, menilai dan membuat keputusan adalah langkah terbaik untuk belajar memperbaiki diri. ^__^


Khamis, 18 Oktober 2012

Cuma menjengah tapi tidak pernah bertaut...

Apabila sekali sekala 'view' blog orang lain, membaca sesuatu yang barangkali dapat memberi ilmu bermanfaat untuk diri, terasa ingin melakukan perkara sama. Menulis, sekaligus dapat ilmu dan memberi ilmu bermanfaat kepada orang lain. Suka membaca blog-blog yang banyak mendedahkan maklumat berguna sebagai panduan sama ada ilmu akhirat mahupun ilmu dunia. Mudah-mudahan ada sesuatu yang dapat dikongsi dan ada sesuatu yang dapat diperoleh daripada hasil tulisan sedemikian kerana hamba menyokong segala tulisan blog berisi ilmu bermanfaat dan bukannya berkongsi menceritakan keburukan dan kelemahan orang lain! ^__^

Sabtu, 11 Jun 2011

" Kedah + Tanjung Malim + Seremban "

Pepatah Melayu mengatakan "hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri". Maksudnya, "sesuatu itu memang baik di kampung halaman sendiri walaupun betapa mewahnya tempat lain". Hujan emasnya ialah line broadband saya di bumi Seremban sangatlah laju berbanding ketika saya berada di kampung. hehe. Baru sahaja menjejakkan diri di bumi Seremban, masih teringat juga wajah-wajah mereka yang sentiasa ingin melihat diri ini berada di kampung bersama mereka. Mahu atau tidak, saya harus juga menggagahkan diri untuk berada di bumi Seremban sehingga Ogos ini dan seterusnya masih juga akan berada di perantauan (Tanjung Malim) sehingga awal tahun hadapan. Macam jauh sangat pula bunyinya..^ ___ ^. Yang baiknya, saya menganggap perjalanan jauh dari keluarga ini sebagai satu cabaran dan perjalanan penting yang bakal menentukan masa depan saya sebagai pendidik kelak..InsyaAllah. 
Pejamkan matamu untukku,
Dengarlah dunia berkata-kata,
usah kau ragu di sini tempatmu,
walau berubah di mata kita tetap indah,
selagi kau masih percaya,
ketawa, kecewa terpisah,
jalan yang lurus kian berhalang,
adakah ini semua yang ku inginkan
ataupun hanya mengejar dunia semata-mata,
kuharap ku masih percaya.
adakah ini semua yang kuinginkan
ataupun hanya mengejar dunia semata-mata
kuharap kau masih percaya
buka matamu biar aku memelukmu
kita bersama masih muda
masih mentah
kuharap kau masih percaya.
selama ini
Sungai Lui
Aizat

Mendengar dan menghayati lagu ini meletakkan diri saya sebagai insan yang harus sentiasa percaya kepada diri sendiri terhadap setiap apa yang dilakukan dan percayalah Allah sentiasa bersama kita. ^ ____ ^. 



Ahad, 29 Mei 2011

" selirik kata "

Seboleh-bolehnya hari ini, adalah hari untuk diri ini melepaskan sesuatu dan memulakan sesuatu. Ruangan blog ini ku anggap sebagai salah satu enjin menghidupkan rasa senang di hati, kerana membaca entri blog orang lain yang memberi inspirasi kekuatan hati serta menulis tentang sesuatu yang bermain di minda berlandaskan kerelevanan merupakan salah satu cara untuk membina kematangan diri. Teringat pula kepada keinginan suatu ketika itu untuk melibatkan diri dalam dunia blog. Keputusannya, kuteruskan perjuangan hasil kursus Sosiolinguistik ini untuk terus menulis entri selanjutnya. Blog ini lalu diubah tajuknya 'tabir ceritera sosiolinguistik' kepada 'tentang aku, kau, dia dan mereka'.Sesungguhnya, sebarang entri yang ingin kutulis sekadar untuk meluah rasa dan kata terhadap dunia yang sedang kita lintasi bersama. Sebarang kekurangan dan kelemahan datangnya dari hamba Allah yang menghamburkan kata dalam blog ini. 

: Universiti Malaya : 11.00 pm :

Sabtu, 12 Mac 2011

" Kerana Bahasa atau Kerana Jiwa?"

Situasi 40
Dahlulunya seringkali aku mendengar kata-kata kurang enak dan kesat daripada pelajar-pelajar nakal di sekolah. Malahan, kata-kata kesat itu ditulis di merata-rata sebagai luahan perasaan mereka terhadap guru atau sesiapa sahaja yang menimbulkan kemarahan dalam jiwa mereka. Situasinya yang ingin aku ceritakan di sini ialah mereka ini sebenarnya mengambil kesempatan di atas bahasa yang ada untuk bersikap tidak wajar terhadap masyarakat dan persekitaran mereka. Kata-kata seperti babi, bodoh, pukimak, lancau, kepala bapak dan sebagainya acapkali digunakan untuk memaki hamun orang lain sesuka hati. Tidak cukup dengan itu, segala luahan perasaan ini turut diconteng di mana-mana kesempatan tempat dan waktu yang ada buat mereka menjalankan kegiatan tidak bermoral ini. Persoalannya, kerana bahasa yang ada membolehkan mereka menggunakan bahasa sedemikian atau gangguan jiwa mereka yang sememanya tidak bermoral? Sesungguhnya, gejala ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan pelajar sekolah, malah golongan dewasa juga.

Ceriteranya:
Wujudnya situasi bahasa seperti ini tidak dinafikan bahawa berpunca daripada adanya bahasa itu sendiri. Kerana bahasalah juga yang mewujudkan kosa kata sedemikian luas untuk digunakan oleh penutur bahasa. Walau bagaimanapun, kegagalan seseorang untuk menghayati keindahan dan ketulusan kewujudan bahasa itu telah memesongkan hati dan jiwanya untuk menggunakannya sebagai bahasa yang tidak bermoral. Keadaan ini juga telah menimbulkan masalah lain seperti vandalisme kerana menconteng di dinding-dinding bangunan dengan. Kita juga tahu bahawa, seringkalinya bahasa-bahasa kesat seperti ini biasa digunakan oleh mereka yang mungkin sekadar untuk meluahkan perasaan marah dan geram. Namun, pada hakikatnya bahasa tidak mengajar kita untuk menggunakannya ke arah yang tidak bermoral seperti itu.

"Pelat"

Situasi 39
Situasi pelat sebenarnya seringkali berlaku dalam kalangan masyarakat di sekitar kita. Situasinya yang ingin aku ceritakan ialah seorang pelajar yang membuat pembentangan ketika kelas Karya Agung bersama Prof. Abdullah Hassan mengalami masalah pelat 's'. Pelajar perempuan itu sukar sekali menyebut perkataan 'Sultan Mansur Syah' kerana masalah abjad 's' yang terdapat pada kata nama 'Mansur' sehingga menyebabkan pensyarah terpaksa memperbetulaknnya berkali-kali. Dia menyebut perkataan Mansur dengan sebutan 'Manshur' sedangkan sebutan yang sebenar adalah 's' dan bukannya 'sh'.

Masalah pelat yang berpunca
daripada alat artikulasi seperti
lidah.
Ceriteranya:
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, pelat membawa maksud kurang betul ketika mengucapkan kata-kata. Masalah pelat ini mungkin berpunca daripada masalah alat artikulasi kita. Adakalanya, ia mungkin berpunca daripada masalah kefahaman dan kebiasaan kita terhadap sesuatu bahasa. Misalnya, orang cina atau india yang pelat berbahasa Melayu kerana lidah mereka sudah terbiasa bertutur dalam bahasa ibunda mereka dan kurang menggunakan bahasa Melayu. Namun, dalam situasi di atas, masalah pelat yang dialaminya sebenarnya berpunca daripada alat artikulasinya lalu menyebabkan dia gagal menyebut abjad 's' dengan betul.

"Binatang dan mnatang"

Situasi 38
Kalau disebut binatang, kita faham bahawa ia merujuk kepada seekor haiwan atau benda hidup yang bernyawa selain manusia. Kalau disebut mnatang pula, mungkin ada yang akan faham ianya merujuk kepada sesuatu benda atau menatang iaitu satu tingkah laku atau perbuatan yang memegang sesuatu menggunakan tangan. Kalau 'bagai menatang minyak yang penuh pula' ia merujuk kepada peribahasa yakni makna menatang dalam ayat tersebut bukanlah perbuatan menatang minyak, sebaliknya perbandingan yang diberi seumpama menatang minyak yang penuh agar tidak tertumpah. Peribahasa itu membawa maksud sikap manusia yang meyayangi dan menjaga seseorang seperi orang yang menatang minyak yang penuh. Namun, situasi dan persoalan yang ingin dibicarakan di sini pada kali ini ialah mengapa ada orang yang mengujarkan binatang sebagai 'binatang' dan ada juga yang mengujarkan binatang sebagai 'mnatang'? Hal ini seringkali kudengar daripada mulut ibuku ketika dia berbicara di rumah sama ada secara sendirian atau bersama orang lain. Kerana adakalanya beliau menyebut binatang dan adakalanya dia menyebut mnatang.


Ceriteranya:
Setelah meneliti dan melihat kepada penggunaan kedua-dua perkataan binatang dan mnatang ini, satu dapatan telah mejelaskan kepada aku bahawa terdapat perbezaan dalam penggunaannya. Penggunaan mnatang yang biasa digunakan oleh ibu aku adalah merujuk kepada sesuatu yang belum jelas tentang keberadaan dan penjelasan mengenainya atau objek dan bukannya haiwan. Manakala binatang, sememangnya merujuk kepada haiwan iaitu benda hidup selain manusia yang bernyawa.

Misalnya:
"Mnatang apa bawah bantal tu."
"Susahnya nak pasang mnatang ni."(Memasang sesuatu misalnya skru meja)

Namun, apabila keberadaan dan penjelasan mengenainya sudah jelas:
"Binatang ni ka ada bawah bantal."

Jelasnya, objek yang digelarkan sebagai mnatang itu biasanya merujuk kepada objek yang jelas atau sesuatu yang belum jelas dan pasti akan keberadaan dan pengenalannya.

" Tahniah tok dan tokwan"

Situasi 37
Pernahkah anda mendengar tok dan tokwan atau lebih dikenali oleh atuk dan nenek oleh masyarakat lain selain orang yang berasal dari Kedah bertutur dalam bahasa Inggeris? Mungkin ada dan mungkin juga tiada. Situasinya yang ingin aku ceritakan di sini ialah tok dan tokwan aku bertutur dalam bahasa Inggeris. Hebat juga kerana mereka tahu dan ada usaha untuk bertutur dalam bahasa Inggeris. Antara himpunan perkataan yang biasanya disebut oleh mereka ialah:

Gomen   -   Goverment
Contoh  ayat:
"Abah hang keja gomen, mesti la dia nak hang keja gomen jugak no."

Korek    -   Correct
Contoh ayat:
"Korek-korek. Tak payah pebetui dah."

Boipren  -   Boyfriend
Contoh ayat:
"Boipren hang bila nak bawak mai."

Eksen   -  Action
Contoh ayat:
"Eksen ja lebih ah."

Ceriteranya:
Sesungguhnya, walaupun perkataan yang disebut itu seratus peratus adalah salah, namun sebenarnya ia menimbulkan rasa suka dalam diri sesiapa yang mendengarnya. Hal ini kerana, adakalanya perkataan itu tidaklah kelihatan kelakar namun disebabkan cara pertuturan warga emas ini memperlihatkan unsur kelucuan, maka timbul rasa geli hati terhadap mereka yang mendengarnya. Jelasnya, golongan warga emas ini juga tidak ketinggalan untuk bertutur menggunakan bahasa Inggeris meskipun mereka tidak tahu mengenai bahasa tersebut. Jadi, mereka hanya akan menyebut mengikut sesedap rasa sepertimana yang mereka dengar daripada pertuturan orang lain. Ada juga segelintir golongan ini yang mengujarkannnya sebagai tanda sindiran terhadap golongan muda hari ini yang gemar menggunakan bahasa Inggeris. Oleh itu, ingin aku menyampaikan ucapan tahniah atas kesungguhan dan keprihatinan mereka yang sedar terhadap situasi bahasa masyarakat sekeliling.

" Sangap?"

Situasi 36
Acapkali mesej yang disampaikan oleh penutur kepada kita perlu melalui proses yang kadangkala menyekat kefahaman kita terhadap sesuatu mesej yang ingin disampaikan. Hal ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor antaranya masalah dialek, loghat, slanga dan sebagainya. Situasi ini turut berlaku kepada aku yang tidak faham akan maksud sangap yang dituturkan oleh rakan sekuliahku. Lalu aku bertanya:

Aku   : Sangap tu apa wei?
Rakan: La, sangap pun kau tak tahu? Menguap tahu?
Aku   : Ha, menguap aku tahu la.
Rakan: Sangap tu menguap la.Tapi kitaorang jarang sebut menguap. Selalu guna sangap.
Aku    : Ooooo..menguuuuuuaaaaap.

Ceriteranya:
Secara jelasnya, kita perlu memproses maklumat yang disampaikan oleh penutur untuk memperoleh maksud mesej dengan jelas. Sekiranya mesej yang disampaikan gagal diproses oleh minda kita dan kita tidak memahami apa yang dituturkan maka, hal ini bermaksud terdapat halangan ketika minda kita ingin memproses maklumat tersebut. Keadaan inilah yang menyebabkan kita gagal atau lambat mentafsir maklumat yang disampaikan oleh penutur lalu menimbulkan tanda tanya. Oleh itu, masalah yang dihadapi oleh situasi di atas yang menyebabkan mesej pertama lambat diterima oleh pendengar merupakan masalah dialek yang biasa berlaku dalam masyarakat seperti beberapa situasi yang telah aku ceritakan sebelum ini. Namun, keadaan inilah yang sebenarnya membantu kita untuk mempelajari kosa kata baru dalam pelbagai dialek yang terdapat di Malaysia.

Jumaat, 11 Mac 2011

" Belah atau blah "

Situasi 35
Belah bermaksud ceraian dan sesuatu yang tidak bersatu atau terpisah dua, manakala blah bermaksud 'pergi'. Situasinya yang biasa aku dengar:


Apa blah blah!!?? 
"Aku blah dulu la. Ada hal."
"Jom blah. Lambat dah ni"

Tidak pernah pula aku mendengar situasi seperti ini:
" Mak, saya blah dulu" atau "Pakcik, saya blah dulu"
Kerana pada kebiasaannya:
"Mak, saya pergi/minta diri dulu" atau "Pakcik, pergi/ minta diri dulu"
Boleh juga kiranya anda mahu mencuba untuk bertutur begitu dengan ibu atau ayah anda. Tetapi tiada jaminan keselamatan telinga diberikan.

Ceriteranya
Bezanya antara dua maksud perkataan ini apabila hilangnya abjad 'e' pada perkataan 'blah'. Malah, bezanya juga terletak pada penggunaannya. Hal ini kerana, perkataan blah ini jarang sekali malah tidak pernah digunakan oleh golongan dewasa atau golongan tua. Ia hanya biasa digunakan oleh anak-anak muda remaja apabila berkomunikasi sesama mereka. Malah, tidak pernah pula rasanya perktaan 'blah' ini digunakan oleh anak muda ketika berinteraksi dengan golongan tua. Terdapat nilai kebaikan yang ditunjukkan di situ apabila perkataan ini hanya digunakan sesama anak muda remaja. Hal ini kerana, perkataan ini sebenarnya kurang enak dan kurang sopan untuk digunakan apabila berinteraksi dengan orang yang lebih tua. Biasanya, perkataan blah ini dilihat sinonim dengan penggunaan bahasa oleh anak-anak muda remaja hari ini.