JellyPages.com

Jumaat, 18 Februari 2011

"Unsur peribahasa"

Situasi 15:
Tatkala jari mula menaip untuk menyiapkan tugasan kursus Semantik dan Pragmatik, aku dihimpit rasa kantuk yang tidak tertahan lalu aku membuka laman 'You Tube' untuk mencari lagu yang boleh menghilangkan rasa kantukku. Lagu 'Aku Kehilanganmu' nyanyian Francisca Peter menjadi pilihan aku. Sebenarnya mak aku peminat setia lagu-lagu Frasncisca. Mari kita nyanyi bersama:

 Ceriteranya:
Sama ada anda perasan atau tidak, lagu ini sebenarnya menyelitkan peribahasa Melayu yang sangat menarik perhatianku untuk menceritakan di ruangan blog ini. 'Bagaikan aur dengan tebing' ialah peribahasa yang diselitkan dalam lagu ini. Seingat aku, inilah lagu pertama yang menyelitkan unsur peribahasa dalam bait-bait katanya. Jarang sekali kita menggunakan unsur peribahasa dalam kehidupan seharian kita apatah lagi ketika mengujarkan sesuatu. Maksud peribahasa tersebut ialah hubungan yang rapat antara satu sama lain dan saling memabantu. Contoh-contoh peribahasa lain yang terdapat dalam bahasa Melayu ialah :
1. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.
2. bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.
3. bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.
4. melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.
5. duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat
6. seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang
7. yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.
8. dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud : segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.
Penggunaan peribahasa dalam menyampaikan nasihat adakalanya memperlihatkan sindiran namun, ia masih dalam unsur yang penuh kelembutan. Sebenarnya banyak lagi peribahasa yang terdapat dalam bahasa Melayu.Bercerita tentang peribahasa teringat pula kepada ibu aku yang kadangkala gemar menyelitkan unsur peribahasa dalam segala nasihat yang disampaikan kepada anak-anaknya. Salah satu dialog yang keluar daripada mulutnya dan masih terpahat dalam mindaku ialah:
"Kena la belajaq betoi-betoi kalau nak berjaya. Takkan tak da usaha rezeki
nak mai begolek. Orang tua-tua kata apa?"Manakan dapat sagunya kalau
tak dipecahkan ruyung". 
Lebih kurang begitulah kata-kata ibu aku kepada adik-adik aku. Sebenarnya, unsur peribahasa ini sangat baik untuk digunakan dalam pelbagai situasi terutama dalam penyampaian mesej dan nasihat. Namun, jarang sekali rasanya kita menggunakan unsur peribahasa ini dalam kehidupan seharian. Sebagai seorang bakal guru, aku sendiri ingin mengingatkan diri dan rakan-rakan agar tidak terlupa untuk menyelitkan unsur peribahsa Melayu dalam pengajaran kelak. Hal ini mungkin menjadi cara terbaik untuk terus menghidupkan pusaka bahasa sejak dahulu dan sepanjang waktu. Justeru, anak-anak muda kini dapat meneruskan warisan bahasa Melayu yang kaya dengan pelbagai peribahasa.

"gagau?"

Situasi 14:
Dialek merupakan salah satu ragam bahasa manusia yang kadangkala boleh menimbulkan kekeliruan dan kekaburan dalam menyampaikan sesuatu maksud ujaran. Hal ini kerana, perbezaan dan persamaan maksud kadangkala menghalang mesej sebenar yang ingin disampaikan oleh si penutur atau si pembicara. Hal ini berlaku dalam satu situasi perbualan aku bersama seorang rakan.

Alkisahnya:
Si A :   Didi, kat mana letaknya? Takde pen.
Aku :   Ada la kat dalam beg tu. Cuba gagau lain.
Si A :  Hah? Gagau? Gagau tu apa?
Aku :  Ko tak tau ek gagau tu ape? Gagau bahasa Kedah. Maksudnya, meraba-raba sesuatu. Sama macam mencari la.
Si A : Oooooo...

Ceriteranya:
Mengikut Kamus Dewan Edisi Ketiga, dialek bermaksud satu bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial yang berbeza daripada bahasa standard, loghat, pelat, daerah, negeri dan lain-lain lagi. Misalnya dialek kelantan, perak dan sebagainya. Oleh sebab perbezaan inilah adakala mesej yang ingin disampaikan oleh si penutur masih kabur terhadap penerima maklumat. Misalnya perkataan 'gagau' yang aku gunakan, menimbulkan tanda tanya terhadap rakanku kerana dia merupakan orang Johor dan perbezaan negeri inilah yang membuatkan bahasa yang digunakan oleh mereka berbeza dengan bahasa yang aku gunakan walaupun maksudnya adalah sama. Setelah diterangkan maksud perkataan itu, barulah mereka faham terhadap maksud perkataan 'gagau' sebenarnya sama dengan maksud 'meraba-raba' atau mencari sesuatu. Jelasnya, dialek antara negeri sebenarnya boleh menimbulkan kekaburan makna yang ingin disampaikan oleh si penutur meskipun maksud sebenar perkataan tersebut sebenarnya adalah sama seperti perktaan yang biasa digunakan oleh dialek neger-negeri lain. Namun begitu, adakalanya sestengah perkataan dialek juga adalah berbeza dari segi maksud dan dan juga perkataannya. Misalnya 'roti' dalam fahaman orang dan dialek Kedah adalah semua jenis roti termasuk biskut, namun bagi orang Johor 'roti' dan biskut adalah benda yang berbeza.

Khamis, 17 Februari 2011

"Kata Beliau"


Prof. Emeritus Abdullah Hassan


                            Situasi 13:
             Huh?
             Hah?
           Haa????





Pernah tak rasanya anda memberi respon secara terkejut lalu mengeluarkan perkataan seperti di atas?Rasanya itulah yang biasa kita lakukan tatkala kita memberi respon yang menunjukkan kita terkejut dengan sesuatu perkara atau keadaan. Misalnya dalam kelas Karya Agung pagi tadi, kami bersama-sama dengan Prof. Emeritus Abdullah Hassan sebaris ayat yang keluar daripada mulut beliau mengejutkan beberapa pelajar di dalam kelas tersebut. Dialog yang ditulis bukanlah dialog sebenar-benarnya tetapi demikianlah sedikit sebanyak yang aku ingat tentang kata-kata beliau:

Prof      : Saya akan mengeluarkan beberapa orang pelajar daripada kumplan ini.
Pelajar : Hah? ( dengan riak muka yang sangat hairan)
Prof      : Tidak perlulah anda memberi respon sedemikian walaupun anda terkejut.  Cukup sekadar bertanya 'mengapa dan kenapa'.  Muka je cantik, tetapi kamu tahu tak sebenarnya kalau yang perempuan akan hilang ciri-ciri kewanitaan apabila kamu membuat reaksi sedemikian.

Ceriteranya:
Seketika aku terasa lucu dengan apa yang diperkatakan oleh Prof. dan ada juga betulnya tentang apa yang diperkatakannya kepada kami. Aku jadi sangat tertarik kepada cara beliau menerangkan situasi terkejut yang 'kurang sopan' itu. Beliau berkata bahawa itulah masalah kita apabila memberi respon tentang sesuatu yang kita tidak jangkakan. Tambahnya lagi, tidak perlu berbuat demikian dengan ditambah pula memek muka yang sangat lucu bagiku tetapi pesanannya sangat bermakna terutama kepada kami yang bakal bergelar seorang guru wanita. Katanya, respon sedemikian sebenarnya menunjukkan kita kurang sopan dengan kadangkala suara yang agak kuat dan menghilangkan ciri kewanitaan dalam diri sesorang wanita. Huh, merupakan salah satu bahasa lisan yang biasa kita dengar tatkala menunjukkan sesorang itu ingin mengekspresikan perasaan terkejutanya sama ada secara sengaja atau tidak. Kebiasannya, apabila kita bercakap tentang terkejut sememangnya ia adalah sesuatu perkara yang berada diluar jangkauan kita. Namun, ia boleh dikawal sekiranya kita cuba mengawal perasaan kita dari menuturkan bahasa seperti itu. Mungkin kita boleh terus mengemukakan persolan jika kita sememangnya terkejur seperti yang diperkatakan oleh Prof. iaitu bertanya kenapa begitu dan mengapa?

Isnin, 14 Februari 2011

" RASA MINT??MOTIF??"


Situasi 12:
Gambarajah di atas menunjukkan dua biji gula-gula yang aku beli dari koperasi di Proton City. Kalau orang tidak mahu mengetahuinya pun, aku tetap ingin menceritakannya. Aku beli kerana untuk menghilangkan kantukku di dalam kelas. Boleh juga mengunyah gula-gula tatkala mendengar pensyarah aku membebel di depan kelas. Baiklah, rasanya ini baru pertama kali aku melihat situasi penggunaan bahasa dalam produk makanan yang mengunakan cantuman bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Kalau ada pun sebelum ini mungkin aku tidak perasan dan kalau ada pun mungkin terjemahan daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Maknanya, sememangnya penggunaan kedua-dua bahasa ini terlalu biasa dalam menterjemah bahan atau nama sesuatu produk tidak kiralah makanan atau sebaliknya. Apakah motif yang cuba dilakukan oleh pihak pengeluar makanan ini yang mencampuradukkan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu seperti di atas?

Ceriteranya: 
Pelbagai persepsi dan kesimpulan boleh dibuat berdasarkan situasi di atas. Namun, pada pendapat aku penggunaan bahasa dalam produk makanan ini kurang sesuai digunakan. Rasa mint?? Mint itu adalah bahasa Inggeris yang bermaksud pudina. Jadi, gula-gula di atas adalah berperisa pudina. Mengapa tidak digunakan sahaja 'rasa pudina' atau 'mint flavour'? Satu lagi situasi yang boleh dianggap kecurangan bahasa dalam penggunaannya. Sesungguhnya, pelbagai situasi bahasa yang boleh kita rakamkan dan keprihatinan kitalah yang sebenarnya bakal menentukan nasib bahasa ibunda kita. Jangan kerana 'nila setitik, rosak susu sebelangan'. Renung-renungkan dan selamat beramal. Sekian..Terima kasih.

Ahad, 13 Februari 2011

"Hiperbola"

Hiperbola ialah sejenis bahasa kiasa atau gaya bahasa untuk menyatakan sesuatu dengan membawa maksud secara berlebih-lebihan daripada maksud yang sebenarnya. Contoh penggunaan bahasa yang boleh dianggap sebagai membawa maksud berlebihan yang ingin aku tunjukkan ialah penggunaan bahasa dalam lirik lagu  'Bertamu di Kalbu' nyanyian Jaclynn Victor. Hayati lirik lagu di bawah:

 Ku genggam semilir malam
 Tika rembulan menyinari
 Lalu ku menadahkan kata cinta nan suci
 dan akan ku hembuskannya 
 Tika malam syahdu
 Kerana dalamnya kasih
 Sedalam lautan 
 Setinggi mentari
 Tak mampu digapai oleh kahayalan insani
 Cuma di naluri
 Katakan bara melecur diri
 Bisa memercik jalan nan luka
 Dengan selasih balut pedih ngeri
 Tiada berpaling setia
Adalah sejarah jadi saksi
Bulan bintang menghangat kasih suci
Kita pun terpaut dan bersatu
Dalam bebayang mimpi berseri
Ku layarkan asmara
Di pelabuhan setia
Akan ku rentangkan sang pelangi suci
yang pastinya anggun di hati
Bertamu di kalbu

Situasi 11:
Semasa aku dan dua lagi teman baikku menghadiri Karnival di Kolej Ungku Omar iaitu Karnival Revolusi Satu Malaysia, aku terpandang satu kain rentang di sebuah gerai yang menggunakan gaya bahasa hiperbola ini. Perhatikan penggunaan perkataan pada kain rentang tersebut iaitu perkataan "banjir kemarau". Mungkin ini adalah satu cara yang difikirkan boleh menarik perhatian pelanggan untuk membeli barang jualan di gerainya. Makanan diberi nama yang lunak bertujuan untuk menarik perhatian pelanggan.


Ceriteranya:
Namun, daripada aspek bahasa yang sebenar, perkataan 'banjir kemarau' itu boleh dianggap sebagai satu gaya bahasa yang membawa maksud berlebih-lebihan. Mana mungkin banjir akan terjadi pada musim kemarau dan itu sudah menunjukkan bahawa perkataan dan bahasa yang digunakan membawa maksud lain daripada apa yang ingin disampaikan. Walau bagaimanapun, keadaan ini sebenarnya menjadi perkara biasa bagi tukang masak profesional yang gemar menamakan jenis masakan yang dimasak dengan nama yang sedap didengar. Secara kesimpulannya, ragam bahasa yang timbul daripada situasi ini menunjukkkan bahawa bahasa itu boleh digunakan secara meluas tanpa batasan.

" Tiada Kata Secantik Bahasa "




Situasi 10
Tiada kata secantik bahasa
Untukku puji adinda
Tiada gambar secantik lukisan
Nak ku tunjukkan perasaan
Dinda puspa gemala mengharu jiwa (2x)
Dinda puspa gemala mustika kanda
Namun musim berubah
Suasana bertukar
Tapi ikatan mesra sikitpun takkan longgar
Tiada kata secantik bahasa 
Untukku puji adinda

Lirik lagu diatas sebenarnya cuma perkaitan yang ingin aku sampaikan dalam mesej "tiada kata secantik bahasa". Sangat enak didengar tambahan pula dalam versi Jamal Abdillah menyanyikan semula lagu ini kerana lebih jelas lirik dan kata-katanya.(http://www.youtube.com/watch?v=jX7ovpO9Rfk)Namun apa yang ingin aku katakan, lagu dan bahasa yang digunakan dalam liriknya ini sebenarnya sangat indah dan lunak bahasanya. Hal ini kerana, perkataan adinda dan kekanda itu sendiri sebenarnya mempunyai nilai sentimen tertentu untuk menggantikan kata ganti diri seorang kekasih kepada kekasihnya. Sesungguhnya, lagu ini mengingatkan aku pada situasi semalam yang kukira sudah beberapa kali kulihat ragam sedemikian dalam masyarakat. Alkisahnya, seorang pemandu bas yang ku kira boleh digelar pakcik menggunakan bahasa yang agak kurang sopan ketika menjawab pertanyaan seorang pelajar. Pelajar itu bertanyakan, hala tuju bas yang dipandu pakcik tersebut lalu pakcik itu hanya menggunakan bahasa isyarat di hadapan bas yang menunjukkan tertera hala tuju bas tersebut. Sebelumnya juga pakcik tersebut telah memarahi beberapa orang pelajar yang membawa minuman masuk ke dalam bas dengan teguran nada tang agak tinggi seolah-olah menengking pelajar-pelajar terbabit. Terkejut aku dengan tindakan pakcik tersebut yang menegur sedemikian rupa. Kita lihat dialog antara pelajar dan pemandu bas tersebut:

Pelajar     : Pakcik, bas ni pergi ke kampus ke?
Pemandu : ( Dengan muka yang agak tegang dan garang lalu menjuihkan mulutnya ke hadapan bas yang tertera kad "KHAR/KUO" sebagai tanda menunjukkan bas itu menuju ke tempat tersebut )

Ceriteranya:
Ingin aku katakan di sini bahawa pakcik tersebut kurang berbahasa dan bahasa isyarat yang digunakan pakcik tersebut adalah bahasa yang tidak cantik! Sungguh tidak bersopan biarpun dia adalah orang yang lebih tua, namun cara tegurannya sebenarnya boleh menyentuh hati pihak yang terbabit. Salahkah kiranya pakcik itu menggunakan bahasa yang sopan lalu menegur pelajar-pelajar tadi dengan cara yang lebih berhemah? Sesungguhnya, kata-kata yang indah adalah bahasa yang indah. Bahasa yang indah itu mencerminkan bangsa yang bermaruah. 


Rabu, 9 Februari 2011

"Salah faham"

Bahasa terkejut itu hanya retorik yang aku gunakan untuk tajuk penulisan aku. Alkisahnya, aku ingin menjelaskan mengenai bahasa spontan yang terkeluar dari mulut rakan sebilikku baru-baru ini. Kadang-kadang bahasa yang terkeluar dari mulut kita bukanlah sesuatu di bawah perancangan kita. Misalnya ketika melatah atau terkejut, pelbagai bahasa pula yang terus terkeluar tatkala kita tidak merancangnya.

Situasi 9:
Si Dia : Mak!!!!Ai...Da kawin rupenye.
Aku    : Mak sape yang kawin?
Si Dia : Hahahaha..(Ketawa terbahak-bahak)
Aku   : Kenapa ko ketawa? Aku tanya mak siapa yang kawin ko ketawa kenapa?
Si Dia : Aku ketawa sebab kelakar lah. Kawan aku la yang kawin. Mana ada mak sesapa. Aku terkejut la sebab tu sebut mak..ai..
Aku    : Ooo...Boleh begitu? hahaha.. (Ketawa bersama)

Ceriteranya:
Dialog di atas adalah salah satu situasi bahasa yang ingin aku kongsikan bersama. Kalau anda perhatikan, perkatan 'mak' dalam dialog tersebut sebenarnya mewakili perkataan alamak iaitu perkataan yang bisanya digunakan untuk memperlihatkan keadaan terkejut dan seumpamanya. Jelasnya, dialog di atas memperlihatkan satu contoh situasi bahasa yang boleh mengelirukan pendengar. Sebenarnya bahasa yang kita tuturkan seharian kadangkala berada di luar kawalan kita. Sepertimana situasi di atas, mungkin rakan saya itu mengalami satu perasaan yang luarbiasa sehingga membuatkan dia terkejut lalu mengungkapkan kata 'mak..ai'. Luarbiasa yang saya maksudkan di sini mungkin dari segi situasi seseorang yang tidak pernah menjangkakan perkara yang bakal diketahuinya. Secara kesimpulannya, situasi bahasa di atas tidak sepatutnya wujud kerana hal ini boleh mengelirukan pendengar ketika mendengar pengucapan bahasa yang  dituturkan sekaligus menjejaskan mesej yang ingin disampaikan. Walau bagaimanapun, sesuatu yang berada di luar jangkauan kita kadangkala membuatkan bahasa kita terganggu dengan pelbagai perasaan yang mungkin wujud ketika kita membuat sesuatu ujaran. Oleh itu, pengawalan terhadap emosi dan bahasa yang ingin dituturkan sebenarnya mungkin boleh mengelakkan hal ini berlaku. Contoh lain yang bersamaan dengan situasi bahasa ini ialah ketika kita berada dalam situasi marah maka, pelbagai bahasa kesat mungkin akan diujarkan dalam keadaan emosi yang tidak stabil.
Sekadar gambar hiasan

Isnin, 7 Februari 2011

"Bermulanya kesetiaan"

Isu kesetiaan biasanya dikaitkan dengan cinta dan kasih sayang. Dari situ, wujud pelbagai emosi yang tercetus dalam diri individu. Kelas modal insan pada jam lapan pagi tadi juga ada menyentuh tentang isu kesetiaan dalam pembentukan organisasi beradab. Dari situ, kita dapat lihat betapa pentingnya nilai kesetiaan dalam pembentukan modal insan. Apa yang menariknya, bagai satu kelangsungan pembelajaran pada hari ini bangkit jua lagi isu kesetiaan dalam kelas kedua aku hari ini. Kelas sosiolinguistik aku hari ini juga turut menyentuh tentang isu kesetiaan dan ia sangat menarik perhatianku. Mungkin kerana dendangan lagu yang diperdengarkan oleh pensyarah kami sebagai permulaan pencetusan idea itu membangkitkan nafsuku untuk belajar dalam kelas tersebut pagi tadi. Lagu Sting yang berjudul 'adakah kau setia' sebenarnya satu media yang digunakan oleh pensyarah kami iaitu Dr. Siti Saniah untuk menimbulkan rasa ingin tahu kami terhadap pembelajaran pada pagi tadi. 'Kesetiaan terhadap bahasa' adalah isu yang cuba dibangkitkan dalam pembelajaran kursus sosiolinguistik hari ini. Perbicaraan itu sebenarnya sangat menarik untuk dibahaskan. Situasi yang ingin aku bangkitkan mengenai kesetiaan ini timbul tatkala lamunan aku terhenti mendengarkan dialog dua pelajar di dalam bas tadi:

Situasi 8:
Gadis 1 : Ehhh, diorang berkayak.
Gadis 2 : Ha ah la.tapi kenape diorang tak pakai 'life jacket'?
Gadis 1 : Diorang suke suke je tu.Tapi kan bahaya tak pakai 'life jacket'.


Ceriteranya:
Pada mulanya aku tidak mengendahkan perkataan yang disebut kedua-dua gadis itu. Hal ini kerana pada kebiasaannya perkataan' life jacket' itu biasa digunakan. Tapi aku adalah jenis manusia yang akan berfikir semula tentang sesuatu meskipun perkara itu sudah lama berlalu. Bukankah 'life jacket' itu adalah bahasa inggeris bagi jaket keselamatan? Detik hatiku sendirian. Terimbas pula perbincangan ketika dalam kelas sosiolinguistik bersama Dr. Siti Saniah. Bukankah itu adalah salah satu kecurangan bahasa? Tetapi, jarang sekali aku mendengar orang menggelarkan jaket keselamatan sebagai 'jaket keselamatan' sebaliknya seringkali disebut sebagai 'life jacket'. Ini adalah salah satu lagi fenomena yang menjadi kebiasaan dalam bahasa pertuturan kita seharian sepertimana yang aku ungkapkan dalam entri sebelum ini. Disebabkan oleh kebiasaan itulah maka masyarakat lebih mudah terikut-ikut sekaligus bahasa asing itu seringkali menegggelamkan bahasa ibunda kita. Mungkin ada yang berpendapat itu adalah kelebihan seseorang yang bijak menggunakan bahasa asing walaupun terpaksa menjadikannya sebagai 'bahasa rojak'. Sedar atau tidak, inilah yang disebut sebagai kecurangan bahasa lantas melanggar kesetiaan bahasa. Wajarnya kesetiaan bahasa itu dipelihara kerana dari situ akan timbul rasa cinta yang bermakna bahawa kita mesti memelihara kedudukan bahasa berkenaan supaya tak tersisih dari kehidupan masyarakatnya seperti yang dikatakan oleh Asmah Haji Omar. Adanya kesetiaan inilah yang dapat menghindarkan kita daripada membiasakan diri merojakkan bahasa ibunda kita.



Sabtu, 5 Februari 2011

'Bahasa itu mudah'

Dalam banyak-banyak patah perkataan yang kita tuturkan setiap hari, pernah tak anda bilang berapa patah kata yang terbit dari alat artikulasi anda itu?Tak pernah?Saya pun tak pernah.Kalau hendak dikirakan setiap patah kata yang terbit dari bibir kita iaiatu alat artikulasi anda itu, tidak terkira pun sebenarnya. Situasi yang aku lalui ketika menaiki sebuah kereta sewa ke kolej kediaman aku petang tadi menimbulkan satu lagi ragam bahasa yang ingin aku kongsikan dengan semua. Katanya..


Situasi 7:
Pak Cik   : Adik nak pegi mane?
Aku         : Arked, dekat dengan SKS. (dengan bermuka manis)
Pak Cik  : Baik-baik. Semester berapa dik?
Aku         : Enam. (dengan senyuman yang terukir di bibir)


Ceriteranya:
Apa pendapat anda tentang penggunaan bahasa dalam perbualan tersebut? Rasanya Pak Cik tersebut bukannya abang aku. Mak aku tidak pernah melahirkan Pak Cik itu untuk menjadi abang aku. Mengapa Pak Cik itu menggelarkan aku 'adik'? Aku pula menggelarkannya Pak Cik. Pak Cik akukah dia itu?hehe..Itu adalah kebiasaan dan panggilan yang biasa kita gunakan sebagai tanda menghormati dan untuk memudahkan komunikasi dalam masyarakat yang berbilang. Kenapa pula kita tidak bertanya dahulu nama seseorang itu untuk  membuat panggilan terhadap individu yang berkomunikasi dengan kita seperti itu? Tidak perlu rasanya prosedur seperti itu kerana bahasa itu amat mudah untuk ditafsir dan difahami. Selain itu, jika diperhatikan penggunaan dialog di atas, bahasa yang digunakan tidak meleret-leret dan tidak terlalu panjang. Misalnya, aku tidak mengulang frasa 'saye nak pegi arked, rumah dekat dengan kaunter SKS' atau 'saya semester enam' bagi menjawab pertanyaan Pak Cik tersebut. Sebaliknya aku hanya menjawab ringkas, Arked. dekat dengan SKS' dan 'enam'. Aku memberikan jawapan yang semudah itu tetapi maksudnya jelas dan sampai kepada penerima maklumat. Hal ini berlaku kerana, situasi ini sudah sebati dengan jiwa dan kefahaman semua pemandu teksi dan pemandu kereta sewa di sekitar Tanjung Malim bahawa pelajar UPSI  tinggal di kawasan yang sedia ada dalam pengetahuan mereka. Oleh itu, secara jelasnya kita tahu bahawa terdapat kelompok masyarakat sudah terbiasa bagi sesuatu situasi komunikasi maka, mereka tidak memerlukan bahasa yang formal dan penerangan yang panjang. Hal ini kerana mereka mudah faham terhadap sesuatu mesej yang ingin disampaikan oleh masyarakat sekitar yang sudah sebati dengan pengetahuan mereka. Keadaan ini mungkin tidak berlaku dan berbeza dengan perbualan kita dengan pensyarah di UPSI atau ketika berurusan dengan pihak lain dalam urusan formal. Mungkin juga sesetengah masyarakat akan menganggap bahawa perbualan seperti ini menunjukkan sesorang itu kurang peramah atau pelbagai spekulasi lain yang boleh timbul daripada bahasa yang kita gunakan. Mudahnya, kita tahu bahawa bahasa adalah alat komunikasi yang mudah bagi menghubungkan kita dengan masyarakat sekitar.